SEORANG lelaki berumur 32 tahun ditahan setelah menyerah diri kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pemburuan haram di Hutan Simpan Ulu Segama sekitar tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Nasri Mansor berkata, lelaki itu hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu selepas mendapati kenderaan pacuan empat roda yang dinaikinya dirampas setelah ditemukan di sebuah ladang sawit berhampiran hutan simpan itu.
“Sepasukan polis bersama Tiger Platoon, Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) dan Jabatan Perhutanan Sabah dalam Operasi Khazanah telah terserempak dengan sebuah kenderaan dinaiki beberapa orang dalam keadaan mencurigakan.
“Pasukan berkenaan mengekori kenderaan itu dan menjumpainya ditinggalkan di ladang sawit berhampiran hutan simpan berkenaan,” katanya dalam kenyataan di Lahad Datu, hari ini.
Nasri berkata kenderaan itu dibawa ke IPD Lahad Datu dan pemeriksaan menemukan bangkai dua ekor rusa dan dua ekor pelanduk yang telah dibuang perutnya dipercayai hasil daripada pemburuan haram, selain beberapa barang peribadi suspek seperti kad pengenalan dan lesen pemandu yang disimpan dalam sebuah beg sandang serta dua telefon bimbit dan pisau.
Soal siasat ke atas suspek mendapati tiga lagi rakannya turut terlibat dalam aktiviti itu dan polis kini giat mengesan mereka, dengan kes disiasat mengikut Seksyen 41(2) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997, katanya. – Bernama, 23 Mac, 2020.
Komen