Peruntukan kawasan Dr Mahathir juga disekat kerajaan Perikatan


Diyana Ibrahim

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bertegas untuk bersama dengan PH dalam gerakan menyelamatkan Malaysia dan menolak kerajaan Perikatan Nasional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Mac, 2020.

PERUNTUKAN kawasan Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad juga didapati disekat kerajaan Perikatan Nasional, seperti dialami Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Perkara tersebut disahkan oleh pegawai bekas perdana menteri itu kepada The Malaysian Insight yang turut menyatakan ia meliputi seluruh Kedah.

“Bukan hanya di Langkawi, tapi seluruh Kedah (peruntukan pusat) tapi kita tak pasti negeri lain macam mana.

“Apa yang saya difahamkan masih belum ada keputusan mengenai peruntukan,” kata pegawai itu ketika dihubungi.

Sewaktu Pakatan Harapan (PH) mentadbir, setiap kawasan parlimen diperuntukkan RM1.5 juta dari Pejabat Perdana Menteri untuk tahun 2020.

The Malaysian Insight juga cuba menghubungi Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir bagi mendapat pengesahan namun tiada respond yang diterima setakat berita ini ditulis.

Jumaat lalu ahli Syed Saddiq berkata nama beliau tidak tersenarai untuk menerima peruntukan tahunan sebagai ahli Parlimen Muar.

Beliau berkata bahagian Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) mengesahkan perkara tersebut dan memaklumkan Pejabat Perdana Menteri sendiri tidak memasukkan Muar dalam senarai.

Syed Saddiq merupakan penyokong Dr Mahathir yang menolak kerjasama Bersatu dalam kerajaan Perikatan Nasional.

Seorang lagi MP PH, Fahmi Fadzil yang mewakili Lembah Pantai juga mengesahkan perkara sama berlaku untuk kawasannya.

Ia berlaku selepas Perikatan Nasional mengambil alih pentadbiran apabila PH kehilangan kuasa melalui tindakan ahli Parlimen yang belot dan berpaling tadah.

Bersatu juga berdepan dengan konflik dalaman susulan daripada pertukaran kerajaan dan pelantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri kelapan.

Walau Syed Saddiq dan Mukhriz masih dalam Bersatu, parti tersebut tidak menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri serta kerjasama dengan Umno dan sebaliknya memihak kepada Dr Mahathir.

Bekas perdana menteri itu bertegas untuk bersama dengan PH dalam gerakan menyelamatkan Malaysia dan menolak kerajaan Perikatan Nasional.

Mengulas hal itu, sumber kerajaan memberitahu kepada The Malaysian Insight, isu penamatan peruntukan kepada ahli Parlimen PH satu kebiasaan mengikut prosedur kerajaan.

“Memang SOP kerajaan, blok pembangkang mana-mana pun tidak akan dapat peruntukan.

“Sama juga ketika PH menjadi kerajaan, peruntukan ahli Parlimen BN juga dihentikan. Yang ada cuma peruntukan untuk penyelaras Parlimen atau DUN,” kata sumber yang tidak mahu dinamakan.

Sumber juga berkata, peruntukan untuk pemimpin seperti Dr Mahathir dan Syed Saddiq dihentikan kerana pemimpin itu dikategorikan sebagai pembangkang.

Ia ekoran kenyataan dan tidakan tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional, katanya.

“Biarpun kedua-duanya merupakan ahli Parlimen Bersatu yang merupakan blok kerajaan tetapi kenyataan mereka konsisten tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional,

“Ia terjadi kerana pembentukan kerajaan Perikatan Nasional bukan melalui blok parti tapi melalui undi ahli Parlimen.

“Jadi mana-mana ahli Parlimen tidak menyokong Perikatan Nasional walau dalam blok parti pemerintah mereka akan tetap dianggap pembangkang,” katanya.

Fahmi Fadzil yang mewakili Lembah Pantai juga mengesahkan perkara sama berlaku untuk kawasannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Mac, 2020.

Sekatan kerana tekanan politik

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil mengakui penamatan peruntukan tersebut sememangnya bermotifkan politik memandangkan pemimpin itu dikenali sebagai penyokong Mahathir.

Fahmi mendakwa sekatan peruntukan itu tidak hanya berlaku pada Syed Saddiq namun kepada beberapa ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Mahathir.

“Saya rasa ada elemen politik kalau kita lihat kes Syed Saddiq ini unik sikit. Beliau sebenarnya dalam parti pemerintah Bersatu tapi Bersatu bukan lagi dalam PH dan PH sekarang memang blok pembangkang,” katanya.

Kawasan parlimen Lembah Pantai kini merupakan antara kawasan yang dikategori sebagai zon merah Covid-19.

Katanya, selain Saddiq ahli Parlimen PH tidak lagi dapat menerima peruntukan.

Beliau berkata hanya mengetahui perkara itu pada minggu lepas apabila tidak lagi dapat mengakses aplikasi ICU bagi membuat permohonan bajet.

“Biasanya peruntukan akan ikut permohonan dan ikut negeri tapi dalam keadaan sekarang negara berdepan dengan wabak Covid-19 memang ahli Parlimen sangat memerlukan peruntukan,” katanya.

Ahli Parlimen Johor Baru Akmal Nasir turut senada berkata banyak program dan pengurusan pejabat terganggu apabila peruntukan dihentikan secara tiba-tiba.

Katanya, ahli Parlimen PH terpaksa mencari inisiatif sendiri untuk mendapatkan sumbangan atau bantuan kepada rakyat ketika negara berdepan wabak Covid -19.

“Sebab itu ramai ahli Parlimen PKR menggerakkan insiatif sendiri seperti Food Bank, penghantaran makanan dan sebagainya,” katanya.

Tindakan menghentikan peruntukan ahli Parlimen PH juga dikritik NGO Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0).

Bersih berkata pengugguran peruntukan bukan sahaja satu diskriminasi terhadap pengundi tetapi pengkhianatan besar kepada rakyat selepas pembentukan kerajaan pintu belakang. – 23 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen