POLIS menahan seorang lelaki berusia 27 tahun bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki berusia 36 tahun di sebuah apartment di Bukit Tinggi Klang dekat Shah Alam pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Shamsul Amar Ramli berkata suspek berkenaan ditahan pada kira-kira 1.10 tengah hari tadi di Setapak, Kuala Lumpur.
“Suspek mengaku terlibat dalam kes ini dan motif kejadian adalah berpunca daripada salah faham akibat mabuk selepas minum arak bersama di rumah mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di Shah Alam hari ini.
Beliau berkata mayat lelaki berkenaan yang mempunyai dua rekod jenayah lampau dijumpai oleh orang awam di kawasan tangga apartment berkenaan pada kira-kira pukul 7.45 pagi dan kemudian menghubungi pihak polis.
“Siasatan telah dijalankan di tempat kejadian bersama bantuan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, mayat dijumpai dalam keadaan tertiarap dengan muka menghadap ke arah tangga dan hanya berseluar pendek warna biru dan tidak berkasut, terdapat tompokan darah yang agak banyak di bahagian muka dan tubuh si mati,” katanya.
Katanya bedah siasat yang dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang mendapati punca kematian mangsa adalah kecederaan serius di kepala akibat pukulan daripada objek tumpul.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – Bernama, 22 Mac, 2020.
Komen