Lebuh raya pertama Kanada ke Artik kini dibuka


Menteri Infrastruktur Kanada Amarjeet Sohi berkata ia hari bersejarah bagi negara itu. – Gambar asohi.liberal.ca pic, 16 November, 2017.

LEBUH raya sepanjang musim ke Artik Kanada secara rasminya dibuka semalam.

“Ini hari bersejarah bagi Kanada,” kata Menteri Infrastruktur Amarjeet Sohi.

“Buat pertama kalinya negara kita dihubungkan dari pinggir pantai ke pinggir pantai,” kata Amarjeet, merujuk kepada Atlantik, Pasifik dan lautan Artik.

Lebuh raya baharu itu menghubungkan Tuktoyaktuk, sebuah perkampungan di lautan Artik ke bahagian selatan Kanada.

Lebuh raya sepanjang 145km di Wilayah Barat Laut itu menggantikan jalan ais bermusim dan menghubungkan seluruh sistem lebuh raya Kanada.

Ini akan menamatkan pergantungan komuniti di pinggir laut kepada pengangkutan udara yang mahal untuk bekalan makanan, peralatan dan perjalanan.

Orang ramai kini boleh memandu dari Edmonton, Alberta ke Inuvik sejauh 3,200km dan setrusnya ke pinggir laut.

Lebuh raya Inuvik Tuktoyaktuk yang mula dicadangkan pada 1960-an itu juga akan meningkatkan sektor pelancongan dan memperbaiki laluan ke sumber asli.

Pembinaan lebuh raya, lapan jambatan dan 359 pembetung telah bermula lapan tahun lalu dan kosnya mencecah C$300 milion (RM981 juta). – AFP, 16 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen