Sarawak pendekkan tempoh waktu operasi perniagaan, perkhidmatan


Desmond Davidson

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak menetapkan semua pasar raya, pasar, kopitiam, medan selera, klinik swasta dan rangkaian makanan segera perlu beroperasi dari 7 pagi sehingga 7 malam.

SARAWAK sekali lagi mengehadkan waktu operasi semua perniagaan dan perkhimatan penting dengan memendekkan tempoh operasi daripada 13 jam kepada 12 jam sehari.

Mengikut waktu operasi baharu yang ditetapkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, semua pasar raya, pasar, kopitiam, medan selera, klinik swasta dan rangkaian makanan segera perlu beroperasi dari 7 pagi sehingga 7 malam.

Arahan baharu itu akan berkuatkuasa pada Selasa, 24 Mac ini.

Pada Rabu lalu, Kementerian Kerajaan Tempatan menetapkan waktu operasi dari 7 pagi hingga 8 malam.

Kemudian pada Jumaat, jawatankuasa terbabit mengarahkan restoran 24 jam menutup operasi mereka pukul 8 malam.

Arahan baharu itu juga meliputi semua kedai serbaneka termasuk 7 Eleven dan stesen minyak untuk beroperasi dari 7 pagi hingga 7 malam.

“Langkah ini perlu untuk menghentikan pergerakan orang awam yang masih berlaku di beberapa kawasan,” kata Timbalan Ketua Menteri Douglas Uggah yang mempengerusikan jawatankuasa itu.

Beliau berkata arahan itu perlu dipatuhi untuk membendung penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) hari ini mengarahkan semua gerai tepi jalan dan kedai runcit di kawasan kampung untuk menutup operasi mereka.

DBKU turut mengerahkan pengawai penguatkuasa untuk memberi nasihat dan mengarahkan pemilik gerai dan kedai untuk menutup segera operasi. – 22 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen