Waktu operasi ATM dihadkan kepada 7 pagi hingga 10 malam


Bank Negara Malaysia mengarahkan waktu operasi terminal layan diri seperti ATM dihadkan sepanjang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mac, 2020.

WAKTU operasi terminal layan diri seperti ATM akan dihadkan kepada jam 7 pagi sehingga 10 malam sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), kata Bank Negara Malaysia.

Dalam kenyataan soalan lazim (FAQ) dikeluarkan semalam, bank pusat itu berkata ia akan memastikan semua bank menyediakan kemudahan diperlukan bagi memastikan semua ATM seluruh negara mempunyai simpanan wang tunai mencukupi untuk memenuhi keperluan isi rumah dan perniagaan sepanjang 14 hari PKP berlangsung.

“Walau bagaimanapun, waktu operasi harian bagi semua Terminal Layan Diri termasuk ATM akan dihadkan dari pukul 7.00 pagi hingga 10.00 malam sepanjang tempoh PKP ini,” katanya.

Selain ATM, terminal layan diri lain seperti Mesin Deposit Wang Tunai, Cek dan Siling akan beroperasi sepenuhnya di lokasi yang tidak terkesan dengan pelaksanaan PKP tetapi waktu operasinya juga dihadkan.

Bagaimanapun, perkhidmatan perbankan dalam talian akan terus beroperasi dan perkhidmatan pengurupan dan kiriman wang masih boleh dilakukan di cawangan bank.

“Penyedia perkhidmatan e-pembayaran juga dalam perkhidmatan penting kerana mereka termasuk dalam kategori e-dagang yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara sebagai perkhidmatan penting di bawah PKP.

“Walaupun kesemua penyedia perkhidmatan penting ini dibenarkan memberikan perkhidmatan di kaunter secara terhad sepanjang tempoh PKP, Bank Negara Malaysia (BNM) amat menggalakkan penggunaan saluran elektronik. Jika tidak benar-benar perlu, elakkan pergi ke cawangan dan premis penyedia perkhidmatan ini demi keselamatan dan kesihatan,” katanya.

BNM juga menyatakan beberapa langkah diambil oleh bank sepanjang PKP bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja dan pelanggan mereka.

Ada cawangan bank yang ditutup dan ada juga cawangan yang dihadkan waktu operasi, katanya lagi, dan menggalakkan pelanggan menggunakan perkhidmatan dalam talian.

Pelanggan juga digesa memeriksa maklumat operasi terkini bank sepanjang PKP.

“Jika anda masih perlu pergi ke bank atau syarikat insurans, sila semak laman sesawang bank/syarikat insurans berkenaan terlebih dahulu untuk mengetahui cawangan mana yang dibuka, atau hubungi talian khidmat pelanggan bank/syarikat insurans berkenaan.” – 22 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen