Pemimpin dan kemewahan, ciri utama jatuhnya tamadun bangsa


IBNU Khaldun di dalam magnum opusnya Mukaddimah secara jelas menyatakan perihal satu hakikat sejarah ketamadunan yang perlu kita fahami dan hayati sepenuhnya sekiranya kita benar-benar serius mahu membina tamadun Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang berjaya.

Beliau menggariskan beberapa tanda kejatuhan dan kegagalan sebuah tamadun. Antaranya ialah apabila pemimpin negara itu hidup mewah dan berkejar dengan kemewahan.

Justeru, Hisbah memandang serius beberapa berita mutakhir yang mempaparkan gaya hidup pemimpin dan keluarganya yang bermewah-mewah dan bermegah-megah. Apatah lagi kisah-kisah ini membabitkan pemimpin didalam Pakatan Harapan (PH), sebuah gabungan politik yang membawa politik dan harapan baru kepada rakyat dan negara.

PH juga harus memandang serius gejala ini kerana kegagalan menanganinya dengan tegas akan membawa kepada tanggapan tiada bezanya PH dengan Barisan Nasional (BN) yang memang sudah terjerumus dengan gejala kerosakan akhlak pemimpin yang hidup bermewah dan bermegah-megah ini.

Atau gejala ini menular ke dalam PH kerana ada pemimpinnya hari ini datang daripada Umno dan terbawa-bawa budaya bobrok disaat bersama parti itu dahulu? Apa maknanya melaungkan perubahan sekiranya diri sendiri tidak mampu berubah?

Kepimpinan di dalam Islam juga bermaksud bukan sahaja keupayaan mengurus tetapi mendidik (murabbi) umat. Malah keislaman kita hari ini lahir daripada ciri kependidikan dan tauladan pemimpin terdahulu yang mempengaruhi kita menerima Islam sebagai pegangan kita.

Nilai pemimpin apa yang mahu kita cari daripada pemimpin yang jelas gagal mendidik keluarganya sendiri hidup bersederhana dengan penuh adab dan kesusilaan agama dan bangsa sendiri?

Hisbah sekali lagi ingin menegaskan isu kemewahan pemimpin bukan isu biasa. Ibn Khaldun menyebutnya sebagai ciri utama kejatuhan tamadun bangsa.

Justeru, Hisbah menuntut PH mengambil serius perkara ini sekiranya mereka benar-benar membawa hakikat dan komitmen perubahan kepada negara atau hanya laungan retorik politik merebut kuasa yang tiada langsung pertimbangan serius kepada persoalan nilai dan pertanggungjawaban kepada harta rakyat. Sama rosaknya seperti Umno dan BN.

Jika itulah hakikatnya, amatlah malang umat di negara ini terpaksa memilih di antara dua syaitan.

Kedua-duanya menjahanamkan umat dan memperkayakan hanya segelintir pemimpin hipokrit yang hari ini berjubah berselipar mendatangi rakyat, esoknya pula belayar di samudera berjoli di kapal layar mewah bersama keluarga.

Demi kepentingan dan masa depan umat yang lebih terbela, Hisbah menuntut tindakan serius agar gejala yang merosakkan tamadun ini dihentikan atau mana-mana pemimpin yang rosak dan merosakkan ini dinyahkan daripada agenda besar perjuangan perubahan. – 16 November, 2017.

* Mohamad Ezam Mohd Nor adalah pengerusi Hisbah.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen