Permintaan sayur, buah segar turun sejak PKP dilaksanakan


Khoo Gek San

Persatuan petani berkata permintaan sayuran dan buahan segar menurun kerana hasil tanaman itu bukan menjadi pilihan utama pengguna ketika PKP dilaksanakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mac, 2020.

PERMINTAAN sayuran dan buahan menurun ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Rabu lalu, sekali gus menyebabkan bekalan berlebihan di pasaran dan penurunan harga, kata petani.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, susulan pengumuman pelaksanaan PKP pada malam Isnin, pembelian panik berlaku di pasar raya besar dengan menyaksikan stok makanan kering habis dijual.

Bagaimanapun permintaan sayuran dan buahan segar menurun kerana barangan itu bukan menjadi pilihan utama pengguna.

Presiden Persatuan Persekutuan Petani Sayur Malaysia Tan So Tiok berkata pilihan pengguna terhadap makanan kering berbanding sayuran menjadi punca kejatuhan harga hasil tani.

“Sejak penularan Covid-19, industri pelancongan domestik juga terjejas, ditambah dengan kawalan pergerakan.

“Sejak itu, permintan sayuran dari restroan juga menurun dan berlaku bekalan berlebihan di pasar.”

Tan bagaimanapun berkata bekalan sayuran tempatan adalah mencukupi dan aktiviti pertanian juga berjalan seperti biasa.

“Petani tidak terjejas, begitu juga dengan pekerja asing di ladang. Ini dikira bernasib baik.

“Bagaimanapun, jangka hayat sayur yang singkat dan permintaan yang berkurangan akan menurunkan harga hasil tani ini.

“Beberapa harga sayuran seperti kailan, kangkung, kacang soya dan timur mencatatkan penurunan.

“Sukar untuk katakan berapa banyak harga yang turun. Ada yang turun sehingga bawah nilai kos,” katanya.

Putrajaya menguatkuasakan PKP bermula Rabu lalu bagi mengekang wabak Covid-19.

Di bawah perintah ini, orang ramai dinasihatkan tinggal di rumah dan mengurangkan kontak antara satu sama lain.

Petani di pasar tani dan pasar malam antara yang terjejas kerana kerajaan mengarahkan perniagaan mereka dihentikan sepanjang tempoh 14 hari PKP.

Petani buah-buahan turut mengalami nasib yang sama.

Presiden Persatuan Petani Buah Malaysia Hoog Jok Hon mendedahkan bahawa permintaan eksport buah tempatan ke Singapura menurun sebanyak 30%.

“Sebagai contoh, purata jumlah eksport pelbagai buah adalah 10 tan. Kini jumlah itu menurun kepada tujuh tan.

“Pasaran Singapura sama seperti Malaysia. Pengguna tidak keluar untuk membeli.”

Beliau berkata buah yang dieksport ke Singapura termasuk betik, tembikai, pir kuning, pisang, nangka, guava, rambutan, durian dan manggis.

“Semasa Tahun Baharu Cina, petani buah bersedia untuk membekalkan kuantiti yang mencukupi untuk dieksport ke Singapura. Pandemik Covid-19 kini menyebabkan permintaan jatuh,” katanya.

Malaysia merekodkan 1,183 kes jangkitan Covid-19 dengan lapan kematian setakat 21 Mac. – 22 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen