Peserta himpunan tabligh bakal berdepan tindakan drastik


Ravin Palanisamy

Hamid berkata pasukan petugas khas telah ditubuhkan untuk mengesan peserta yang hadir pada bulan lepas. Pasukan itu diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Huzir Mohamed. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mac, 2020.

PESERTA perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling yang enggan jalani pemeriksaan kesihatan bakal berdepan tindakan keras, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador hari ini.

Hamid berkata pasukan petugas khas telah ditubuhkan untuk mengesan peserta yang hadir pada bulan lepas. Pasukan itu diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Huzir Mohamed.

“Setakat ini PDRM telah mengesan sejumlah 7,671 individu yang menghadiri acara tersebut. Sekarang, Kementerian Kesihatan juga telah memberi kita senarai peserta yang telah melalui proses saringan.

“Jadi kita akan membandingkan nama dan dari situ kita akan tahu berapa ramai yang belum jalani proses saringan kesihatan.

“Kami akan mengambil tindakan drastik untuk memaksa mereka menjalani ujian dengan bantuan Kementerian Kesihatan,” katanya dalam temu bual secara langsung dengan Astro Awani hari ini. 

Hamid juga berkata bahawa beliau menghargai orang ramai yang memberi maklumat kepada polis berhubung mereka yang menghadiri perhimpunan itu, dan menyifatkan ia memudahkan pasukan petugas dalam mengesan mereka.

“Saya benar-benar menghargai maklumat yang disumbang oleh orang ramai, dan memudahkan pasukan petugas. Sekiranya boleh, kita akan mendapat kesan 100% (dari mereka yang menghadiri himpunan tabligh tersebut),” katanya.

Dianggarkan lebih 16,000 mengambil bahagian dalam program tiga hari, menghimpunkan 14,500 rakyat Malaysia. 

Pihak berkuasa mendesak mereka yang belum menjalani pemeriksaan untuk tampil menjalani pemeriksaan.

Setakat ini jumlah kematian Covid-19 di Malaysia kini berjumlah lapan orang, sementara 153 kes baharu dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 1,183. – 21 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen