KKM, UNCHR bekerjasama pastikan keselamatan pelarian terjamin


Ragananthini Vethasalam

Kementerian Kesihatan akan menyediakan penempatan untuk golongan gelandangan ketika menghadapi krisis Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 21 Mac, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan bekerjasama rapat dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bagi memastikan keselamatan pelarian terjamin ketika menghadapi krisis pandemik Covid-19.

Ini bagi memastikan pelarian dan pencari suaka politik tidak ketinggalan usaha Putrajaya untuk membendung penularan virus maut itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata UNCHR akan bekerjasama dengan Persatuan Perubatan Islam Malaysia dan Mercy Malaysia bagi mengesan mana-mana pelarian atau pencari suaka yang menghadiri himpunan tabligh di Masjid Sri Petaling pada bulan lepas.

Kementerian Kesihatan turut mengerahkan staf dari jabatan kesihatan daerah untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan pelarian dan pencari suaka politik untuk mendapatkan bantuan perubatan jika mengalami simptom Covid-19.

Bagi kalangan gelandangan, Dr Noor Hisham berkata sebuah tempat sudah dikenalpasti untuk menempatkan golongan itu dan mereka juga akan menjalani ujian saringan kesihatan.

Malaysia merekodkan 1,183 kes positif Covid-19 setakat ini dengan 153 kes dilaporkan pada hari ini.

Selain itu, angka kematian juga meningkat kepada empat orang dengan kematian terbaru melibatkan seorang lelaki berusia 50 tahun dari kluster tabligh. – 21 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen