Pulau Pinang akan sita, tarik balik lesen pengusaha degil waktu PKP


Zaim Ibrahim

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Jagdeep Singh Deo berkata kerajaan Pulau Pinang tidak akan berlembut lagi dengan pengusaha yang masih degil beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mac, 2020.

KERAJAAN negeri Pulau Pinang tidak akan berlembut lagi dengan pengusaha yang masih degil beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kata exco Jagdeep Singh Deo.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata pihaknya akan menyita dan menarik balik lesen pengusaha degil tersebut.

“Mulai esok jika ada premis yang masih berdegil, kita akan menarik lesen perniagaan mereka. Kedua kita akan menyita barang-barang perniagaan,” kata beliau dalam satu sidang media di Georgetown.

Katanya perniagaan seperti kompleks makanan, kompleks penjaja dan binaan di Seberang Perai dan Pulau Pinang didapati beroperasi seperti biasa ketika PKP.

Tindakan itu menyebabkan kompleks makanan dan pasar awam itu dipenuhi orang ramai yang tidak mengamalkan penjarakan selamat.

Malah terdapat juga kompleks makanan yang membenarkan pelanggan makan di dalam premis tersebut, katanya.

Penjaja tepi jalan yang masih berniaga pula menyebabkan beberapa jalan raya sibuk dan dipenuhi orang ramai.

Katanya Majlis Bandaraya Pulau Pinang memeriksa 1,834 premis manakala Majlis Bandaraya Seberang Perai memeriksa 274 premis.

Tambah beliau, walaupun 80% premis perniagaan mematuhi arahan kawalan itu, tetapi angka itu perlu ditingkatkan untuk membanteras wabak Covid 19.

Dalam sidang media itu, Datuk Bandar MBPP, Yew Tung Seang pula berkata empat lokasi penjaja tepi jalan akan ditutup mulai esok.

“Penjaja tepi jalan di Air Itam, Bayan Baru, Jelutong, dan Jalan Perak ditutup mulai esok. Kami fokus empat lokasi ini kerana mereka sahaja masih degil walau diberi nasihat,” jelasnya.

Bagi kawasan di Seberang Perai pula, lima daripada 30 pasar awam akan diberi perhatian iaitu di Penanti, Sungai Dua, Samagagah, Taman Selamat, dan Kampung Baru, Bukit Mertajam.

Pasukan tentera akan mula dikerahkan esok bagi membantu polis untuk memastikan rakyat kekal di rumah sepanjang PKP.

Setakat hari ini, 1030 pesakit positif Covid 19 di seluruh negara, 940 pesakit sedang dirawat dan 26 daripadanya dalam Unit Rawatan Rapi (ICU).

Tiga pesakit telah meninggal dunia manakala 87 pesakit sebelum ini telah dibenarkan keluar dari hospital.

Di Pulau Pinang, 37 kes direkodkan dan seorang daripadanya dibenar keluar hospital.  – 20 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen