#KitaJagaKita bantu golongan tidak bernasib baik terjejas wabak Covid-19


Bede Hong

Hanna Alkaf mengambil inisiatif untuk membantu golongan tidak bernasib baik yang terjejas dengan wabak Covid-19. – Gambar Facebook, 21 Mac, 2020.

SATU tweet pada malam sebelum perintah kawalan pergerakan oleh seorang penulis membawa kepada pembentukan badan bukan kerajaan bernama #KitaJagaKita yang membantu mereka yang kurang bernasib baik dengan menjadi penghubung kepada penderma dengan sukarelawan.

“Pada mulanya, ia bermula sebagai thread yang saya tweet pada 17 Mac,” kata pengasas gerakan itu, Hanna Alkaf.

“Saya sudah penat dengan perasaan tidak berdaya tentang apa yang saya lihat dalam berita dan mahu mengambil tindakan dan mula melakukan sesuatu.

“Jadi, saya mula mencari dan mengumpul organisasi serta kumpulan komuniti yang bekerja dengan masyarakat kurang bernasib baik di lapangan, sesiapa yang ingin mendapatkan sumbangan atau sukarelawan.”

Hanna, pemenang Anugerah Freeman Book yang berpangkalan di Amerika Syarikat bagi novel sulungnya, “The Weight Of Our Sky”, berkata beliau pada mulanya bekerjasama dengan hanya beberapa rakan di Twitter dengan menyiarkan senarai kumpulan masyarakat sivil yang memerlukan dana dengan hashtag #KitaJagaKita.

“Ketika thread itu bermula, kawan saya menghubungi dan berkata beliau dan beberapa rakan yang lain - bekas anggota pasukan pulangmengundi.com - telah melihat thread itu dan mahu bekerja dengan saya untuk melakukan sesuatu yang lebih kukuh.

“Jadi dalam masa 24 jam, kami mewujudkan Kitajaga.us, memastikan untuk mengesahkan setiap senarai dan memastikan segala-galanya mudah dikongsi selain daripada Twitter.”

Ia kini termasuklah Mercy Malaysia, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Befrienders KL, dan CAREMongering Malaysia, yang menyediakan makanan dan bantuan kepada masyarakat kurang bernasib baik.

Selain sumbangan, sukarelawan boleh menawarkan perkhidmatan mereka seperti kaunseling jarak jauh.

“Kami adalah sekumpulan sukarelawan yang bekerja untuk mengesahkan dan mengumpul usaha membantu kumpulan terjejas semasa perintah kawalan gerakan.

“Mereka yang ingin menawarkan bantuan, dan mereka yang mencari bantuan, hanya perlu pergi ke laman web kami dan mencari secara spesifik kumpulan yang mempunyai aktiviti seiring dengan keperluan mereka.”

Hannah menambah kumpulan tersebut mematuhi arahan jarak sosial.

“Kami tidak mempunyai pejabat. Kami semua bekerja dari jauh. Sebahagian kami tidak pernah bertemu sebelum ini.”

Maklumat lanjut boleh diperolehi di [email protected]. – 21 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen