Pesawat China bawa 1 juta topeng muka tiba di Prague


Seorang lelaki di Prague, Republik Czech membuat topeng muka sendiri susulan arahan kerajaan negara itu tidak membenarkan rakyatnya keluar tanpa menutup mulut dan hidung bagi mengekang Covid-19. – Gambar EPA, 20 Mac, 2020.

PESAWAT dari China yang membawa lebih sejuta topeng muka untuk Republik Czech mendarat di Prague pada Jumaat, kata kerajaan.

Kerajaan Czech dikritik kerana kekurangan bahan perubatan yang menyebabkan ribuan rakyatnya terpaksa membuat topeng muka sendiri di rumah kerana pihak berkuasa tidak membenarkan orang awam keluar rumah tanpa menutup hidung dan mulut.

“Pesawat di belakang kami mempunyai 1.1 juta respirator FFP2 yang akan diedarkan dengan segera ke hospital dan tempat lain,” kata Menteri Dalam Negeri Jan Hamacek pada sidang akhbar televisyen di lapangan terbang Prague.

Sekolah, kelab malam, teater, pawagam dan kemudahan lain ditutup di Republik Czech yang mempunyai 10.7 juta penduduk, melaporkan 774 kes yang disahkan positif virus itu dengan tiga pesakit sembuh dan tiada kematian.

Pada Sabtu, kerajaan Czech dijangka sebuah lagi pesawat China Eastern dengan jutaan topeng muka dan pesawat kargo An-124 Ruslan yang membawa lebih 100 tan bahan perubatan dari China.

Hamacek berkata beliau menjangkakan tiga pesawat dengan bahan perubatan tiba dari China setiap minggu untuk sekurang-kurangnya enam minggu akan datang.

Pesawat dengan 150,000 ujian virus sgera, juga dari China, sudah tiba di Prague pada Rabu. – AFP, 20 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen