Australia buru 2,700 penumpang kapal dikhuatiri dijangkiti Covid-19


Empat penumpang termasuk seorang kru sebuah kapal persiaran dari Sydney ke New Zealand disahkan positif Covid-19. – Gambar EPA, 20 Mac, 2020.

AUSTRALIA mengeluarkan notis kecemasan menggesa 2,700 penumpang kapal pesiaran yang turun di Sydney mengasingkan diri dan menghubungi pihak berkuasa pada Jumaat, selepas empat penumpang diuji positif Covid-19.

Pihak berkuasa New South Wales menyifatkan penumpang kapal Ruby Princess dari New Zealand itu berisiko rendah dan membenarkan mereka ke ke pusat bandar terpadat negara itu pada Khamis.

Mereka kemudiannya menemui tiga penumpang dan seorang daripada 1,100 kru didapati positif.

Kapal itu dalam pelayaran dari Sydney ke New Zealand apabila penumpangnya jatuh sakit dan 13 orang didapati demam.

Swab mereka kemudian diuji bagi koronavirus dan empat daripada positif.

“Ini jelas merupakan sebab untuk kami berasa bimbang,” kata Menteri Kesihatan New South Wales, Brad Hazzard.

“Penumpang memberikan e-mel dan nombor telefon mereka dan kami berusaha untuk menghubungi mereka,” katanya.

Kapal kini berada di luar pantai Sydney dengan 1,100 kru termasuk seorang kakitangan yang diuji positif.

“Syarikat yang memiliki Ruby Princess sedang menguruskan isu ini,” kata Hazzard.

Mereka yang pulang dari luar negara atau terdedah kepada koronavirus diharap menjalani kuarantin sukarela selama 14 hari, tetapi sesetengah penumpang mungkin belum mengetahui mengenai keputusan ujian yang positif itu.

“Kebimbangan yang sangat besar, adalah mereka yang turun dari kapal tanpa mengetahui terdapat Covid di atas kapal itu,” kata Hazzard.

Operator Princess Cruises tidak segera menjawab permintaan untuk sebarang komen. – AFP, 20 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen