Tentera bantu polis kuat kuasa perintah pergerakan bermula Ahad


Orang ramai dinasihatkan patuh segala arahan daripada pihak berkuasa sepertimana keperluan dalam Perintah Kawalan Pergerakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mac, 2020.

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) akan memulakan tugas membantu Polis Diraja Malaysia, menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan dalam membasmi penularan wabak Covid-19, bermula jam 12.01 pagi, Ahad ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini, menasihatkan orang ramai untuk mematuhi segala arahan daripada pihak berkuasa sepertimana keperluan dalam Perintah Kawalan Pergerakan.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap orang ramai yang ingkar dan tidak mematuhi perintah tersebut,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu 130 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes adalah 1,030 kes setakat 12 tengah hari ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, 48 kes daripada 130 kes baharu itu, adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling, baru-baru ini. – Bernama, 20 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen