Pakatan kecam kenaikan 150% harga topeng muka


Putrajaya berkata kenaikan 80 sen bagi harga siling topeng muka tiga lapis kepada RM2 seunit bertujuan meningkatkan bekalan di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mac, 2020.

MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) mengecam keputusan Putrajaya menaikkan harga topeng muka tiga lapis kepada RM2 seunit, selepas pengeluaran tidak mampu menampung permintaan ketika wabak Covid-19.

“Kenaikan 150% tiba-tiba dan keterlaluan. Ia juga tidak membantu mengurangkan masalah, yang kekurangan bekalan,” kata majlis itu dalam satu kenyataan hari ini.

PH mendesak kerajaan meneruskan perbincangan dengan sektor swasta untuk meningkatkan bekalan.

“Berdasarkan perbincangan sebelumnya, kami yakin empat perkara perlu dipercepat untuk membantu industri meningkatkan pengeluaran mereka.”

Empat perkara yang perlu ditangani oleh kerajaan adalah membantu industri mengatasi masalah kekurangan pekerja; meluluskan waktu kerja tiga shif; memberikan pengecualian cukai di bawah Akta Kastam 1967; dan membolehkan industri mendapat lebih banyak bahan mentah untuk pengeluaran.

Majlis itu juga mencadangkan rundingan antara kerajaan dengan China untuk mengimport topeng muka kerana situasi Covid-19 di sana bertambah baik.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nantha Linggi berkata kenaikan 80 sen bagi harga siling topeng muka tiga lapis kepada RM2 seunit bertujuan meningkatkan bekalan di Malaysia.

Harga topeng muka satu dan dua lapis, serta N95 tidak berubah.

Putrajaya mengharamkan eksport topeng muka.

Majlis itu berkata kerajaan PH sebelum ini sudah mengusahakan skim pembelian pukal dengan pengeluar topeng muka tempatan. – 20 Mac, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen