Anies Baswedan mahu jadikan Jakarta kota bermoral


Gabenor baru Jakarta, Anies Baswedan serius ingin membebaskan Jakarta daripada dadah dan 'mana-mana tempat yang didapati berurusan dengan dadah, tidak akan dibenarkan beroperasi'. – Gambar EPA, 16 November, 2017.

GABENOR baru Jakarta, Anies Baswedan mahu menjadikan bandar raya itu sebuah kota yang tinggi standard moralnya, dengan wawasan membersihkan ibu negara Indonesia dengan lebih 10 juta penduduk itu daripada pelacuran dan salah guna dadah, lapor media di republik itu.

Anies menyampaikan wawasannya itu pada pertemuan dengan ulama dan tokoh agama Islam di pejabatnya di Balai Kota Daerah Khusus Ibu Kota Jakarta, kelmarin, lapor portal berita detiknews.com.

“Kita ingin menghadirkan Jakarta, Jakarta sebagai kota yang standard moralnya tinggi. Kita tidak ingin Jakarta menjadi kota yang kompromi terhadap amalan-amalan yang tidak sesuai dengan (moral), dan itu sudah diatur di peraturan daerah kita,” kata Anies, seperti dipetik portal berita itu.

Portal berita Tribun News melaporkan pertemuan itu dihadiri oleh 160 peserta termasuk Ketua Majlis Agama Islam Jakarta, Syarifuddin Abdul Ghani; Ketua Forum Kerukunan Umat Beragama, Ahmad Syafi’I Mufid dan ulama-ulama yang lain.

Pada pertemuan itu, Anies, yang mula jadi gabenor Jakarta pada 16 Oktober lalu, menjelaskan langkah-langkah yang dilakukan oleh pentadbirannya dalam tempoh sebulan sejak beliau memegang jawatan.

Langkah-langkah itu termasuk tidak melanjutkan lesen Hotel Alexis di Jakarta Utara yang dikatakan menjadi sarang pelacuran.

Beliau juga menegaskan akan menutup beberapa tempat hiburan malam yang diketahui jadi pasar urus niaga dadah terlarang, termasuk pusat karaoke Diamond di Jakarta Barat.

“Kami inginkan Jakarta menjadi contoh. Ini ibu kota. Satu-satunya kota yang dapat status ibu, ya cuma ini. Kami harus jadi rujukan dan contoh,” kata Anies.

Polis bulan lalu menutup pusat karaoke itu selepas pemimpin Golkar, Indra J Piliang bersama dua yang lain tertangkap di situ dengan dadah jenis syabu. Mereka kemudian disahkan positif menggunakan dadah terlarang.

Semasa kempen pemilihan gabenor Jakarta, Indra mendukung Anies dan timbalannya, Sandiaga Uno, serta ikut turun berkempen untuk mereka.

Akhbar Kompas sementara itu memetik Anies berkata pentadbirannya serius mahu membebaskan Jakarta daripada dadah dan “mana-mana tempat yang didapati berurusan dengan dadah, tidak akan dibenarkan beroperasi”.

Ada sekurang-kurangnya 500,000 pengguna dadah di Jakarta, dengan keldai dadah yang melibatkan kanak-kanak di bawah umur meningkat sehingga 300%, kata Anies, memetik data daripada Suruhanjaya Perlindungan Kanak-Kanak Indonesia.

Dalam perkembangan berkaitan, Anies mengumumkan mahu menyemak semua peraturan yang melarang kegiatan agama di lapangan Monumen Nasional (Monas) di Jakarta Tengah.

“Sekarang itu tidak boleh untuk kegiatan kebudayaan, kegiatan kesenian, atau kegiatan pengajian juga tidak boleh. Jadi bukan hanya kegiatan agama. Kerana itu, nanti akan ada perubahan peraturan gabenor,” katanya, seperti dipetik oleh Kompas.

Sementara itu, Ketua Umum Nahdlatul Ulama, Said Aqil Siradj dalam reaksinya setuju dengan cadangan Anies, asalkan ia bukan muslihat politik, lapor detiknews.com.

“Kalau niatnya betul-betul untuk agama, saya dukung. Tapi kalau punya background atau target politik, itu yang saya tentang. Agama jangan dijadikan alat politik,” katanya.

Anies menang pemilihan gabenor Jakarta pada April lepas mengalahkan penyandang Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok, pemimpin bagi kota itu yang pertama bukan beragama Islam dalam masa setengah abad dan yang pertama daripada etnik Cina.

Penganalisis merumuskan kemenangan Anies pada pemilihan pusingan kedua antara lain dipengaruhi oleh kempennya atas isu-isu agama dan kaum.

Pelan Anies itu adalah antara janjinya semasa kempen pemilihan gabenor, yang ketika itu dikritik oleh Ahok.

Menurut Ahok, urusan kegiatan agama adalah bidang kuasa kerajaan pusat dan bukannya pentadbiran Jakarta, merujuk kepada perintah president pada 1995 yang menyatakan kawasan Monas hendaklah dijadikan zon yang neutral.

“Sekiranya dibenarkan kegiataan agama di Monas, apakah orang ramai masih boleh menggunakan taman itu untuk beriadah?” tanya Ahok.

Ahok kini menjalani hukuman penjara dua tahun selepas disabitkan tuduhan menghina agama semasa kempen pemilihan gabenor. – 16 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen