Kedai makan terpilih sahaja dibenarkan beroperasi 24 jam


Noel Achariam

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata pihaknya kini sedang meneliti semua kedai satu persatu yang dibenarkan untuk beroperasi 24 jam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 20 Mac, 2020.

BAGI membendung kesesakan dan keperluan untuk menjarakkan diri, hanya kedai menjual makanan tertentu sahaja dibenarkan beroperasi 24 jam di bandar, kata Annuar Musa.

Menteri Wilayah Persekutuan berkata mereka kini sedang meneliti semua kedai satu persatu.

“Terdapat beberapa kedai yang menyediakan perhidmatan bawa pulang tetapi ia terlalu popular dan menarik ramai orang.

“Tidak sepatutnya ada kesesakan dan hubungan fizikal yang memudaratkan kesihatan awam,” katanya di mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan restoran 24 jam memendekkan waktu operasi dari pukul 6 pagi hingga 10 malam, dan hanya terbuka untuk penghantaran dan bawa pulang.

DBKL berkata tindakan akan diambil terhadap mereka yang melanggar perintah itu.

Arahan itu berkuatkuasa pada Rabu, selepas perintah kawalan pergerakan Putrajaya untuk mengekang penyebaran Covid-19.

Annuar berkata secara asasnya cawangan boleh beroperasi tetapi hanya untuk bawa pulang sahaja.

“Tetapi, garis panduan itu perlu diikuti dengan apa yang diputuskan oleh MKN dan Kementerian Kesihatan.

“Penguatkuasaan DBKL akan memeriksa kedai ini dan jika tidak mematuhi peraturan maka kami akan menyemak operasi mereka.”

Mengenai isu pasar di bandar, Annuar berkata ramai orang berkumpul di pasar dan tidak berkesan bagi memastikan jarak sosial diperlukan.

“Nasihat kami adalah untuk mereka mengambil langkah berjaga-jaga. Semua premis perlu menyediakan cecair pembasmi kuman dan pekerja memakai topeng muka.

“Kami tidak dapat mengawal 100% aktiviti di bandar ini.”

Perintah kawalan pergerakan diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 18 Mac untuk membendung penyebaran koronavirus yang setakat ini menjangkiti 900 orang dengan dua kematian yang dilaporkan.

Di seluruh dunia, terdapat 242,300 jangkitan dengan jumlah kematian 9,857. – 20 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen