AGENSI anti rasuah Indonesia sedia memburu Speaker Parlimen, Setya Novanto selepas “hilang” malam tadi ketika pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (KPK) datang untuk menangkap beliau di rumahnya di Jakarta, lapor media republik itu.
Selepas lima jam berada di kediaman Setya dan gagal menemuinya, sepuluh pegawai KPK keluar membawa beberapa buah beg lebih kurang pukul 3.45 pagi waktu Malaysia, lapor portal berita Kompas.
Setya pagi semalam mempengerusikan sidang Parlimen dan enggan hadir ke pejabat KPK untuk disoal siasat, masuk semalam, kali yang keempat.
Setya, yang juga pengerusi Parti Golkar, minggu lepas sekali lagi dinamakan oleh agensi itu sebagai suspek kes penyelewengan projek kad pengenalan elektronik (e-KTP), dua minggu selepas membatalkan pertuduhan pertama melalui perintah mahkamah pada akhir September lalu.
KPK pertama kali menamakan speaker Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) itu sebagai suspek pada 17 Julai lepas, dengan dakwaan menjadi dalang utama penyelewengan dana projek tersebut sehingga menyebabkan kerugian kira-kira RM723 juta. Beliau menafikan semua tuduhan.
Jurucakap KPK, Febri Diansyah berkata pihaknya kini menggesa Setya supaya memberikan kerjasama dengan menyerah diri, lapor CNN Indonesia.
“Kalau belum ditemukan, kami pertimbangkan lebih lanjut dan kerjasama dengan polis untuk mengeluarkan surat DPO,” katanya, merujuk kepada daftar pencarian orang atau istilahnya “orang yang dikehendaki”.
Pada sidang media di perkarangan pejabat KPK di Jakarta lewat tengah malam tadi, Febri enggan merumuskan apakah Setya sudah melarikan diri.
Namun sekiranya memang speaker Parlimen itu gagal dikesan, agensi rasuah itu akan meneruskan langkah menyenaraikan beliau sebagai orang yang dikehendaki, katanya.
Febri juga dipetik oleh CNN Indonesia berkata pihaknya yakin Setya masih berada di Indonesia kerana beliau dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara selama enam bulan sejak awal bulan lepas.
Setya mula dikaitkan dengan penyelewengan projek e-KTP pada 2013 selepas namanya disebut oleh bekas bendahari Parti Demokrat, Muhammad Nazaruddin, yang ketika itu disiasat atas tuduhan rasuah berhubung projek perkampungan atlet Sukan SEA 2011.
Projek e-KTP itu bertujuan menyiapkan kad pengenalan biometrik untuk semua warga Indonesia yang berumur 17 tahun ke atas. Ia bagaimanapun tergendala pada Oktober 2015 kerana beberapa isu termasuk kelewatan projek, masalah teknikal dan adanya kakitangan kerajaan yang meminta bayaran daripada rakyat untuk perkhidmatan yang sebenarnya percuma itu.
Nazaruddin kini menjalani hukuman penjara 13 tahun atas sabitan rasuah dan mengubah wang haram, dan dijangka bebas pada 2025.
Setya dituduh bersubahat dengan dua ahli perniagaan serta seorang bekas pegawai Kementerian Dalam Negeri untuk menyeleweng projek kad pengenalan itu.
Selain Setya, dana projek yang diseleweng itu juga dikatakan diagih-agihkan dalam kalangan sekelompok wakil rakyat daripada beberapa parti politik.
Setya dinamakan semula sebagai suspek minggu lalu, beberapa hari selepas polis Indonesia membuka siasatan ke atas dua pegawai kanan KPK yang dituduh oleh peguamnya memalsukan dokumen supaya pihak berkuasa imigresen melanjutkan sekatan perjalanan ke atas speaker itu.
Setya dalam tempoh lima tahun lalu dikaitkan dengan beberapa kes rasuah, termasuk tuduhan pada 2015 memeras ugut saham daripada sebuah syarikat perlombongan di Indonesia.
Beliau disiasat oleh jawatankuasa etika Parlimen dan letak jawatan sebagai speaker, namun dilantik semula tahun lalu selepas dibebaskan oleh jawatankuasa tersebut. – 16 November, 2017
Komen