Kedutaan di Malaysia ubah waktu operasi


Kedutaan asing mengambil tindakan berjaga-jaga dengan mengehadkan jumlah kakitangan dan memendekkan waktu operasi bagi membendung peningkatan kes Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mac, 2020.

LANGKAH kerajaan Malaysia menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan untuk membendung peningkatan kes Covid-19 turut menyaksikan kedutaan asing mengambil tindakan berjaga-jaga, sambil menasihatkan rakyat mereka lebih berwaspada. 

Bekerja dari rumah, mengehadkan jumlah kakitangan dan memendekkan waktu operasi antara langkah yang diambil kedutaan.

Perintah kawalan itu dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967, meliputi larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya, berkuat kuasa mulai 18  hingga 31 Mac.

Kedutaan Republik Czech masih beroperasi tetapi pada skala lebih kecil dan sesetengah kakitangan bekerja secara jarak jauh, kata Duta Besar Milan Hupcej.

“Susulan pengisytiharan darurat di Republik Czech, kedutaan terpaksa berhenti menerima semua permohonan visa jangka pendek dan jangka panjang sehingga notis selanjutnya.

“Keutamaan kami sekarang ialah kini bantuan konsular dan sokongan kepada warganegara Czech di Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan.

Kedutaan Jepun turut melakukan beberapa perubahan waktu operasi untuk perkhidmatan konsularnya bermula 19 Mac hingga 31 Mac.

Operasi perkhidmatan pasport, sijil, pendaftaran keluarga, pengundian di luar negara, permohonan visa dan lain-lain, ditukar kepada 10 pagi-12 tengah hari berbanding sebelum ini 8.30 pagi-12 tengah hari. 

Bagaimanapun, operasi perkhidmatan konsular tidak berubah 2 hingga 4 petang. 

“Jumlah hari bekerja yang diperlukan untuk pengeluaran pasport dan sijil ditukar kepada lima hari berbanding empat hari sebelum ini.

“Pengeluaran visa untuk rakyat Malaysia mengambil masa tiga hari bekerja dan bukan warga Malaysia, empat hari bekerja, berbanding sebelum ini iaitu dua hari bekerja dan tiga hari bekerja.” 

Bermula hari ini sehingga 31 Mac, kedutaan hanya akan menerima permohonan visa dari rakyat Malaysia dan bukan warganegara Malaysia yang memiliki Sijil Kelayakan (COE), visa Diplomatik dan Rasmi, serta mereka yang memerlukan pertimbangan khusus untuk tujuan kemanusiaan.

“Semua permohonan visa untuk lawatan jangka pendek dalam tempoh 90 hari (seperti pelancongan, mesyuarat perniagaan, keluarga dan saudara mara) digantung,” menurut kedutaan. 

Waktu operasi panggilan telefon untuk perkhidmatan konsular tidak berubah, iaitu 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari dan 1.30 hingga 4.30 petang.

Operasi Kedutaan Republik Poland juga seperti biasa - walaupun dengan petugas yang terhad.

Kedutaan mengatakan kebanyakan warga Poland pulang ke Eropah melalui Thailand dan Singapura.

“Kerajaan Poland bekerjasama dengan LOT, syarikat penerbangan negara untuk membawa pulang rakyatnya ke Poland. Kami juga sentiasa kemas kini laman web dan media sosial mengenai situasi di Malaysia dan rantau ini,” ujar kedutaan. 

Timbalan Ketua Misi Suruhanjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia Atif Sharif Mian berkata tiada kes membabitkan warga Pakistan yang terkandas di Malaysia setakat ini. 

“Nasihat kami (untuk komuniti Pakistan) mengekalkan jarak sosial dan tidak melakukan perjalanan yang tidak penting,” katanya.

Atif berkata Pakistan International Airlines (PIA) terus beroperasi setiap Jumaat untuk perjalanan Kuala Lumpur-Islamabad. 

Duta Somalia ke Malaysia Abukar Abdi Osman berkata pejabat kedutaan ditutup dari 18 hingga 31 Mac,

“Kita akan beroperasi dari rumah. Terdapat kira-kira 3,000 penuntut Somalia di Malaysia, serta pelajar sekolah menengah,” kata Abukar.

Duta Sepanyol ke Malaysia, José Miguel Corvinos Lafuente, berkata  kedutaan beroperasi mengikut syif, secara bergilir-gilir. 

Menurut jurucakap kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, buat masa ini semua temu janji untuk visa imigran dan bukan imigran dari 17 Mac dan seterusnya dibatalkan.

Rakyat Amerika yang memerlukan bantuan dan maklumat lanjut boleh mengunjungi laman web https://ustraveldocs.com/my/ dan https://my.usembassy.gov/u-s-citizen-services/covid-19-information/.

Maklumat lanjut juga boleh didapati https://step.state.gov.

Kuasa Usaha Kedutaan Venezuela di Malaysia, Morella Barreto Lopez, berkata kakitangan kedutaan hanya beroperasi dari rumah. 

Warga Venezuela boleh menghubungi kedutaan melalui email [email protected] dan [email protected]. – Bernama, 20 Mac, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen