Kerajaan tanggung makan 60,000 pelajar yang kekal di kampus


Kalidevi Mogan Kumarappa

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan melibatkan 60,000 pelajar itu dibuat dalam mesyuarat jawatankuasa yang dianggotai 19 kementerian di Jabatan Perdana Menteri pagi ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mac, 2020.

KERAJAAN memberi jaminan akan menanggung kos makanan untuk kesemua pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang kekal di kampus semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan melibatkan 60,000 pelajar itu dibuat dalam mesyuarat jawatankuasa yang dianggotai 19 kementerian di Jabatan Perdana Menteri pagi ini.

Katanya, keputusan tersebut dicapai selepas menerima aduan dan keluhan daripada ibu bapa mengenai keadaan pelajar yang terpaksa tinggal di kolej masing-masing.

“Ada aduan ibu bapa bahawa walaupun tidak diteruskan pembelajaran, anak mereka terpaksa tinggal di kolej dan bimbang mengenai makanan untuk mereka.

“Didakwa ramai pelajar yang kekal di kolej tidak ada kemampuan wang membeli makanan.

“Maka mesyuarat jawatankuasa hari ini membuat keputusan kerajaan akan menanggung sepenuhnya makanan untuk kesemua pelajar di kolej asrama IPTA sekarang dan ibu bapa tidak perlulah bimbang lagi,” katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Ismail yang juga menteri pertahanan berkata, agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan membuat pengiraan dan mengumpul jumlah pelajar yang terlibat dalam bantuan makanan tersebut.

“Pihak Nadma akan membuat pengiraan itu (jumlah pelajar yang duduk di kolej),” katanya.

Pelajar yang diwawancara The Malaysian Insight semalam mendedahkan pihak pentadbiran kampus tidak menyediakan makanan selepas memberi jaminan untuk berbuat demikian.

Pelajar berkenaan pada awalnya diarah mengosongkan kampus oleh pentadbiran Muhyiddin Yassin selepas perdana menteri itu mengumumkan PKP berkuatkuasa.

Keadaan itu menyebabkan kebingungan dan pelajar berpusu-pusu keluar untuk pulang ke kampung.

Para pelajar itu kemudiannya diarah tidak meninggalkan kampus dan kekal di kolej kediaman apabila PKP berkuatkuasa sehingga 31 Mac.

Malaysia merekodkan dua kematian dan 900 kes setakat ini, sebahagian besarnya dikesan daripada satu kluster perhimpunan jemaah tabligh. – 20 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen