Dalam tempoh 30 tahun, 2 pelanggaran berlaku di MRT Singapura


PELANGGARAN melibatkan dua tren Transit Aliran Massa Singapura (SMRT) di stesen Joo Koon merupakan insiden kedua dalam sejarah 30 tahun MRT beroperasi, lapor Channel NewsAsia hari ini.

Laporan itu berkata insiden pertama berlaku pada 5 Ogos, 1993, enam tahun selepas sistem SMRT mula beroperasi pada 1987.

Ia melibat perlanggaran antara dua tren di stesen Clementi dan menyebabkan 156 penumpang cedera.

Sesetengah daripada mereka tercampak pada panel dan susur besi atau bertimbun atas satu sama lain.

Nahas itu berlaku kerana tren menuju ke timur dari Jurong berhenti di stesen MRT Clementi selama dua minit lebih lama daripada dijadualkan kerana kesilapan teknikal.

Laporan itu berkata operasi di ketiga-tiga stesen terlibat, Clementi, Buona Vista dan Commonwealth, disambung semula dalam sehari selepas pemeriksaan intensif dijalankan oleh jurutera dari SMRT, ketika itu dikenali sebagai Mass Rapid Transit Corp (MRTC).

Panel penyiasat bebas ditubuhkan untuk menjalan siasatan mengenai insiden itu.

Pada 19 Oktober, panel penyiasat berkata nahas itu disebabkan oleh tumpahan minyak sejauh 50 liter dari lokomotif penyelenggaraan, yang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan kira-kira pukul 5 pagi pada hari kemalangan.

Panel penyiasat juga bekata nahas itu dapat dielakan jika kakitangan memahami tentang betapa seriusnya keadaan dan menangani tumpahan minyak secara agresif atau segera.

Susulan dapatan itu, MRTC menyemak semula prosedur operasi standard menghendaki stesen master memeriksa trek platform untuk mengesan minyak dan melaksanakan langkah-langkah keselamatan sekiranya berlaku tumpahan minyak.

Dalam pada itu, pengendali tren mengumumkan rancangan untuk membeli lokomotif baharu bagi menggantikan lokomotif sedia ada untuk penyelenggaraan trek kerana lokomotif baharu tidak terdedah kepada kebocoran hidraulik yang sama.

Perlanggaran hari ini menyaksikan 28 penumpang termasuk dua kakitangan SMRT mengalami kecederaan ringan.

Sistem SMRT membentuk komponen utama  sistem kereta api di Singapura dengan rangkaian meliputi laluan sepanjang 198.6 kilometer dan mempunyai 119 stesen.

Lapan laluan itu dibina oleh Penguasa Pengangkutan Darat, sebuah lembaga berkanun Kerajaan Singapura, dan tren tersebut dikendalikan oleh SMRT Corporation dan SBS Transit. – Bernama, 15 November, 2017.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen