Polis buat tangkapan pertama kes langgar perintah kawalan


Kalidevi Mogan Kumarappa

Polis melakukan sekatan jalan raya dan pemeriksaan susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bagi bendung penularan Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 20 Mac, 2020.

SEORANG lelaki ditahan selepas didapati menghalang tugas anggota polis melaksanakan perintah kawalan pergerakan di Sungai Petani, hari ini.

Lelaki berusia 30-an yang ditahan di kawasan rumah ibadat pada 10.30 pagi itu merupakan individu pertama yang ditahan sejak perintah berkenaan dilaksanakan di seluruh negara sejak semalam.

Ketua Polis Kuala Muda Adzli Abu Shah berkata lelaki terbabit didapati berkumpul bersama beberapa individu lain di rumah ibadat itu sebelum diminta beredar oleh polis.

“Ketika rondaan dilakukan, polis mendapati terdapat sekumpulan lelaki sedang berhimpun di rumah ibadat berkenaan.

“Polis memberi nasihat dan meminta mereka beredar bagi mematuhi perintah kawalan pergerakan, namun lelaki terbabit enggan beredar, maki hamun anggota dan bertindak agresif,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Adzli berkata lelaki terbabit ditahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Katanya, polis akan mencadangkan tindakan mengikut Seksyen 25 (1) (n) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 dikenakan terhadap lelaki terbabit selepas gagal mengemukakan kad pengenalan apabila diminta.

“Kami juga akan mencadangkan lelaki berkenaan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya.

Beliau berkata tangkapan lelaki itu sebagai satu mesej kepada masyarakat supaya memberi kerjasama kepada pihak berkuasa semasa menjalankan tugas.

“Jika masyarakat masih berdegil kita akan bawa ke peringkat seterusnya dengan mengeluarkan denda atau mengambil tindakan mahkamah,” katanya. – 20 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen