POLIS akan mengambil tindakan tegas jika orang ramai masih berdegil mengingkari penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.
Beliau berkata tindakan itu akan dilaksanakan sebaik saja polis mendapat kebenaran daripada jawatankuasa khas yang diketuai Menteri Kanan, Ismail Sabri Yaakob yang juga merupakan Menteri Pertahanan.
Abdul Hamid berkata buat masa ini pihaknya masih mengambil pendekatan memberi amaran dan nasihat kepada orang awam yang mengingkari arahan supaya kekal berada dalam rumah.
“Jadi disebabkan inilah pihak kami mengadakan lebih banyak sekatan jalan raya dengan keseluruhan jumlah membabitkan 504 sekatan semalam.
“Selain sekatan jalan raya, polis turut mewujudkan pasukan tertentu yang memantau lokasi panas yang menjadi tumpuan orang ramai yang masih berdegil dan berkumpul.
“Contohnya di padang permainan. Mereka berkumpul seolah-olah tiada apa yang perlu dirisaukan” katanya dalam sidang media selepas mengadakan tinjauan sekatan jalan raya di Kampung Pandan, hari ini.

Beliau berkata, sekiranya pendekatan melalui sekatan jalan raya ini masih belum berhasil, pihaknya akan merujuk jawatankuasa khas berkenaan untuk sebarang tindakan selanjutnya.
Abdul Hamid berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama yang baik dalam usaha bersama menangani jangkitan Covid-19 daripada menular dan merebak kepada orang lain.
“Saya berharap kita dapat mencapai sasaran sebanyak 80 hingga 90% jumlah orang awam yang mengikut arahan kerajaan. Mungkin boleh mencecah 95% dan dianggap baik.
“Saya harap orang ramai faham. Jangan biarkan sampai ke tahap bahaya nanti kami terpaksa mengambil tindakan lebih drastik dengan melakukan tangkapan.
“Janganlah sampai ke tahap itu. Apa yang penting kita tidak mahu tambahkan lagi risiko jangkitan Covid-19 ini,” katanya. – 19 Mac, 2020.
Komen