Malaysia ikut jejak Itali jika rakyat ingkar perintah kawalan, kata persatuan perubatan


Bede Hong

Orang awam perlu sedar betapa serius dan buruk kesannya jika tidak patuh perintah kawalan pergerakan, kata Presiden MMA Dr N. Ganabaskaran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mac, 2020.

HOSPITAL awam tidak akan mampu menampung jumlah pesakit Covid-19 jika rakyat tidak mengambil serius perintah kawalan pergerakan, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Presidennya, Dr N. Ganabaskaran dalam satu kenyataan berkata hospital akan melebihi keupayaannya jika kes Covid-19 terus meningkat.

“Orang awam perlu sedar betapa serius dan buruk kesannya jika tidak patuh perintah kawalan pergerakan.

“Jika rakyat Malaysia terus mengabaikan arahan itu, kes jangkitan mungkin akan meningkat menyerupai situasi di Itali selepas negara itu menyaksikan penduduknya berkumpul, menghadiri himpunan besar-besaran dan melakukan aktiviti sosial.

“Kini negara itu mencatatkan 35,713 kes dan 2,978 kematian akibat Covid-19.”

Malaysia mempunyai 135 hospital kerajaan, sembilan institut perubatan pakar, 926 alat bantuan pernafasan (ventilator) di unit rawatan rapi (ICU), 142 ventilator bergerak dan 210 hospital swasta.

Orang ramai diminta tinggal di rumah dan mengelakkan perjalanan tidak penting bagi mengekang bahaya penularan jangkitan kepada golongan yang lebih berusia yang berisiko tinggi.

“Ketua pengarah kesihatan telah memberi amaran jika tiada perkembangan positif, perintah kawalan mungkin dilanjutkan dan ini boleh mengundang masalah ekonomi yang lebih serius termasuk kehilangan kerja, pendapatan dan perniagaan ditutup.

Dr Ganasbakaran juga berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia mempunyai peranan penting dalam memastikan pematuhan perintah tersebut.

“Orang awam perlu sedar tentang betapa serius dan kesan buruk yang akan berlaku jika perintah itu gagal dipatuhi.”

“Bagaimanapun kita yakin dengan pematuhan penuh terhadap perintah itu, penurunan kes akan berlaku.

“Kita meminta orang awam supaya bersabar dalam tempoh ini dan memberi sokongan penuh kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas mereka,” katanya. – 19 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen