Polis mula sekat jalan, kuat kuasa perintah kawalan pergerakan


Zaim Ibrahim

POLIS Pulau Pinang mula membuat sekatan jalan raya untuk menguatkuasa perintah kawalan pergerakan bagi menangani wabak Covid-19.

Sekatan jalan itu dilakukan di Jalan Dr Awang menghala ke pusat beli belah Queensbay Mall bermula 10 hingga 11 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt A.A Anbalagan berkata sekatan jalan raya itu dilakukan supaya polis dapat menghalang pergerakan yang tidak penting dilakukan.

“Ini salah satu langkah diambil polis bagi memastikan semua rakyat akur arahan dikeluarkan.

“Anda dinasihatkan sentiasa berada di rumah masing-masing kerana peraturan pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit, dikuatkuasakan. Sekiranya gagal mengikut perintah, anda boleh dikenakan tindakan,” katanya.

Anbalagan berkata mereka yang mengingkari perintah kawalan pergerakan boleh didenda tidak melebihi RM1000 atau dipenjara tidak melebihi enam bulan, atau kedua-dua sekali.

Katanya, hasil sekatan pagi ini mendapati rakyat masih patuh pada arahan itu.

“Rata-ratanya kita dapat lihat mereka ini daripada perkhidmatan penting negara dan individu yang membeli makanan,” katanya.

Sementara itu, berkenaan kilang di beberapa kawasan Barat Daya yang beroperasi, polis masih belum mendapat laporan dan maklumat berkenaan hal itu, katanya.

“Jika ada kilang yang memaksa pekerja datang bekerja dan tidak termaktub mana-mana undang-undang yang membenarkan mereka operasi seperti arahan Majlis Keselamatan Negara  (MKN) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), pekerja boleh buat laporan kepada polis,” katanya.

Di Pulau Pinang, jumlah kes positif Covid 19 setakat hari ini masih kekal 30 kes dengan satu daripadanya dibenarkan keluar dari hospital.

Malaysia mencatatkan 790 kes dan dua kematian akibat Covid-19. – 19 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen