Payung Teduh hilang penyanyi, Is umum keluar band


Payung Teduh dianggotai oleh Mohammad Istiqamah Djamad (Is), Comi Aziz Kariko , Alejandro Saksakame (Cito) dan Ivan Penwyn. Is (dua dari kiri) mengumumkan yang beliau akan meninggalkan kumpulan itu tahun depan. – Gambar Facebook, 15 November, 2017.

PENYANYI Payung Teduh, Mohammad Istiqamah Djamad atau lebih mesra dengan panggilan Is, mengumumkan akan meninggalkan kumpulan muzik popular dari Indonesia itu tahun depan, lapor Kompas.

Is membuat pengumuman itu selepas persembahan BBM Liztomania Konsert Muzik Tanah Air Vol.3 Payung Teduh “Catra Adhum” di Gedung Kesenian Jakarta, di Jakarta, semalam.

“Episod baru mungkin, petualangan dengan Payung akan berakhir pada 2018, saya akan mundur,’ katanya, seperti dipetik portal berita Kompas.

Jelas beliau, keputusannya itu bukanlah kerana ada masalah peribadi dengan mana-mana anggota Payung Teduh yang lain, sebaliknya kerana sudah tidak sesuai dengan jiwanya sebagai pengkarya muzik.

“Saya merasa Payung Teduh seperti kehilangan spirit untuk tetap berkarya,” katanya, yang menyifatkan kumpulan muzik itu sekarang lebih sibuk membuat persembahan.

“Tetapi tidak ada perselisihan faham, ya… Hanya perbezaan cara pandang untuk menjalani Payung Teduh itu sendiri,” tambahnya.

Payung Teduh mengadakan konsert pertamanya di Malaysia, di Shah Alam, Selangor pada 3 Disember 2016, yang tiketnya laris terjual beberapa hari sebelum persembahan. – Gambar Facebook, 15 November, 2017.

Payung Teduh bukanlah band yang asing dalam kalangan peminat muzik di Malaysia dan sudah tiga empat kali tampil membuat konsert di Kuala Lumpur dan Kuching, selepas konsert pertamanya di Petaling Jaya pada 3 Disember tahun lalu.

Menurut Is, ketiadaannya bersama Payung Teduh bukan bermakna kumpulan muzik itu akan bubar kerana hanya dia seorang yang tidak lagi akan bersama dengan rakan-rakannya yang lain.

“Saya tidak akan biarkan kapal ini karam. Tetapi mereka tetap berjalan, maksud saya tetap jalan, tanpa saya,” kata Is, yang mengasaskan Payung Teduh bersama pemain bes,  Comi Aziz Kariko atau Comi.

Payung Teduh, yang didirikan pada 2007, sehingga kini sudah menerbitkan dua album, Payung Teduh (2010) dan Dunia Batas (2012). Daripada dua album itu, mereka kemudian menghasilkan sebuah album kompilasi Live at Yamaha Live and Loud (2016), dengan gubahan yang tampil berbeza dan diiringi orkestra.

Kumpulan muzik yang mengadunkan irama jazz, folk dan keroncong ini pada Jun lepas mengeluarkan single berjudul Akad.

Payung Teduh dijadual muncul dengan album ketiga sebelum akhir tahun ini, dengan warna yang dikatakan berbeza daripada penampilan dua album sebelumnya.

Menurut Is, beliau tetap komited akan menyelesaikan album ketiga, yang tunda penerbitannya daripada bulan lepas ke bulan ini.

“Saya akan tetap bertanggung jawab karena tanggung jawab moral, karena saya masih kontrak sampai 31 Desember 2017,” katanya, dipetik Kompas.

Menjelang album ketiga itu, Payung Teduh akan mengeluarkan satu single berjudul ‘Di Atas Meja’, yang dikerjakan antaranya oleh Steve Lillywhite, penerbit kepada band rock terkenal, U2, lapor majalah The Rolling Stone Indonesia.

Dalam pada itu, Is tidak menolak tanggapan bahawa dia sebenarnya sudah lama memikirkan hendak meninggalkan Payung Teduh. Dia mengaku sudah membincangkan kemungkinan itu sejak Jun lepas.

Is juga sudah beberapa kali menghantar isyarat melalui foto-foto yang dikongsinya di Instagram.

Dalam pada itu, Is memberitahu setelah tidak lagi bersama Payung Teduh nanti, beliau mahu menghabiskan lebih banyak masa bersama isteri dan menulis buku, dan tentunya, tetap menulis lagu. – 15 November, 2017.

 

Terkadang memang harus memilih. Kali ini saya memilih pamit. Izinkan

A post shared by mohammad istiqamah djamad (@pusakata) on


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen