Pelajar universiti, kolej dilarang tinggalkan kampus


Chan Kok Leong

Pergerakan pelajar institusi pengajian tinggi yang tidak jelas dalam tempoh perintah kawalan pergerakan menyebabkan kritikan terhadap Perikatan Nasional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mac, 2020.

PELAJAR universiti awam (UA) dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS) perlu berada di kampus mereka sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan, kata Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Para pelajar UA dan IPTS termasuk pelajar antarabangsa yang masih berada di kampus (kolej kediaman, rumah sewa atau kediaman peribadi yang lain) perlu kekal berada di premis tersebut walaupun bagi pelajar yang telah membeli tiket pengangkutan ke kampung halaman,” kata kementerian dalam kenyataan soalan lazim (FAQ) dikeluarkan petang tadi.

“Mereka hendaklah melaporkan kepada pihak pengurusan UA dan IPTS dan tertakluk kepada perintah yang berkuatkuasa.”

UA dan IPTS akan bertanggungjawab untuk keperluan asas, keselamatan dan kebajikan pelajar sepanjang tempoh itu, kata KPT lagi.

FAQ turut menyebut yang UA dan IPTS akan mengekalkan perkhidmatan penting seperti air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, keselamatan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.

“Perkhidmatan penyediaan makanan di UA dan IPTS boleh beroperasi dengan hanya melalui pelaksanaan penghantaran makanan atau pembelian makanan secara bungkus sahaja,” kata FQA itu yang menambah peraturan itu turut terpakai kepada politeknik dan kolej komuniti.

Ini adalah kali ketiga kerajaan Perikatan Nasional mengubah dasarnya berkaitan pelajar kolej dan universiti. Semalam, Majlis Keselamatan Nasional (MKN) berkata semua pelajar UA perlu keluar dari kampus.

Tetapi, selepas stesen keretapi dan bas diserbu pelajar yang mahu pulang, PN mengubah dasar menyatakan pelajar boleh memilih untuk tinggal di kampus atau pulang ke kampung mereka.

Menteri Pendidikan Tinggi sekarang adalah Dr Noraini Ahmad daripada Umno. – 18 Mac, 2020.

Berita penuh di sini.

 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen