841 rakyat Malaysia masih terkandas di 20 buah negara kerana penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan negara terbabit bagi mengawal wabak Covid-19.
Timbalan Menteri Luar Kamarudin Jaffar berkata semua rakyat Malaysia itu sudah diberikan bantuan konsular oleh Perwakilan Malaysia di negara terbabit yang merangkumi nasihat berkenaan urusan penginapan sementara, laluan penerbangan alternatif dan bantuan lain yang berkaitan.
“841 ini merangkumi 274 orang di India; Uzbekistan (209); Maghribi (160); Mesir (43); Arab Saudi (28); Bangladesh (26); Sweden (26); Sepanyol (19) dan 11 orang di Austria.
“Selain itu lapan orang terkandas di Montenegro; Finland (8); Ukraine (7); Switzerland (5); Norway (5); Maldives (4); Poland (3); Hungary (2) dan masing-masing seorang di Lithuania, Panama dan Ecuador,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau yang juga pengerusi Pasukan Petugas Covid-19 Wisma Putra berkata, Pejabat Perwakilan juga berjaya membantu memudah cara urusan pulang bagi 116 warga Malaysia iaitu 113 orang di Maghribi dan tiga dari Maldives.
“Seperti yang dinyatakan Menteri Hishammuddin Hussein pagi ini bahawa Perintah Kawalan Pergerakan oleh Malaysia tidak menghalang kemasukan rakyat kita dari luar negara.
“Rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara juga diminta untuk terus bertenang dan menghubungi Perwakilan Malaysia yang berkenaan di samping mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan jangkitan Covid-19,” katanya.
Beliau turut meminta rakyat Malaysia di luar negara mendaftar diri dengan Perwakilan Malaysia yang terdekat.
Malaysia menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan bermula hari ini sehingga 31 Mac bagi mengekang wabak Covid-19 dalam negara.
Perintah itu antara lain mengenakan sekatan keluar untuk warga Malaysia dan masuk untuk warga asing ke negara ini. Manakala, warga Malaysia yang pulang dalam tempoh itu dihendaki menjalani kuarantin selama 14 hari.
Malaysia melaporkan dua kematian kerana wabak itu semalam, dengan jumlah kes positif mencecah 673. – 18 Mac, 2020.
Komen