90% tempahan di restoran Cina dibatalkan


Angie Tan

Sehingga 90% acara makan malam, termasuk majlis meraikan perkahwinan ditunda atau dibatalkan selepas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan perintah kawalan pergerakan Isnin lalu. – Gambar fail AFP, 20 Mac, 2020.

PERINTAH kawalan pergerakan mulai 18 sehingga 31 Mac untuk mengekang penyebaran Covid-19 membenarkan upacara perkahwinan tetapi melarang sebarang majlis meraikannya.

Walaupun perintah itu diumumkan pada malam Isnin, tinjauan di beberapa restoran Cina keesokan harinya mendapati sehingga 90% acara makan malam, termasuk majlis meraikan perkahwinan ditunda atau dibatalkan lebih awal.

Beberapa pembatalan dan penangguhan bermula pada awal Mac, sejurus selepas Malaysia memasuki gelombang kedua jangkitan koronavirus.

Sehingga semalam, terdapat 120 kes baru yang menjadikan jumlah jangkitan di negara ini kepada 673. Dua kematian juga direkodkan buat kali pertama di Malaysia.

Presiden Pan Malaysia Koo Soo Restaurants and Chef Association, Wong Teu Hoon berkata ramai ahli melaporkan pelanggan mula membatalkan tempahan sejurus selepas pengumuman perdana menteri.

Pembatalan dibuat bagi tempahan pada tarikh dalam tempoh dua minggu perintah pergerakan  sehingga hujung bulan.

Tempahan pada April ditangguhkan sehingga pandemik bertambah baik, sementara tempahan untuk Mei masih ada.

Pemilik restoran juga berkata beberapa tempahan mengurangkan bilangan meja dari 50 kepada 20 sahaja, kerana tuan rumah menjangka tidak semua tetamu hadir berdasarkan keadaan semasa.

Wong berkata restoran bimbang mengenai pendapatan mereka tetapi tiada apa yang boleh dilakukan dalam keadaan sekarang.

“Restoran perlu memahami kebimbangan pelanggan. Kami tidak akan meminta mereka membayar jumlah penuh, restoran hanya mengambil deposit dan pelanggan boleh menggunakannya pada tarikh yang lain,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pengarah urusan sebuah restoran, Too Han Kwong, yang mengendalikan Restoran Hee Lai Ton di Pudu, berkata selepas Tahun Baru Cina pada akhir Januari, restoran lengang.

Masa itu bertepatan dengan beberapa kes pertama Covid-19 di Malaysia. – 20 Mac, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen