Kerajaan perlu salur maklumat tepat untuk elak panik, kata Anwar


Presiden PKR Anwar Ibrahim menggesa Putrajaya lebih bertanggungjawab dalam berkongsi maklumat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mac, 2020.

PUTRAJAYA mesti menyalurkan maklumat yang lengkap dan tepat kepada media supaya tiada kekeliruan serta panik di kalangan rakyat, kata Anwar Ibrahim.

Presiden PKR berkata, kerajaan mesti lebih bertanggungjawab dalam berkongsi maklumat.

Beliau berkata ini merujuk kepada kekeliruan di kalangan rakyat mengenai langkah kerajaan membendung penyebaran Covid-19, termasuk dengan mengenakan kawalan perintah pergerakan.

“Masalah yang dihadapi sekarang ini disebabkan penyelarasan dan jentera kerajaan yang lemah dalam menyalurkan maklumat.

“Saya menggesa kerajaan menyelesaikan masalah ini dengan segera dan lebih bertanggungjawab dan beretika pada masa ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata media, sebagai sumber maklumat utama rakyat, mesti diberi akses yang betul.

Maklumat yang bertentangan dan tidak tepat berhubung tindakan perintah kawalan pergerakan oleh kerajaan bermula hari ini hingga 31 Mac bagi mengekang Covid-19, menyebabkan kekeliruan di kalangan rakyat.

Polis terpaksa membatalkan arahan mengisi borang di balai polis untuk perjalanan antara negeri selepas ribuan membanjiri stesen tersebut.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata polis akan mengeluarkan keputusan baru mengenai isu itu selepas mesyuarat hari ini. – 18 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen