Nikah boleh, kenduri dilarang sama sekali


Mohd Farhan Darwis Zaim Ibrahim

Semua pihak diminta mengikut garis panduan tatacara pelaksanaan majlis akad nikah sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan. – Gambar Opposite Image, 18 Mac, 2020.

MANA-mana pasangan di Selangor yang ingin melangsungkan pernikahan mereka boleh berbuat demikian sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan yang bermula hari ini.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Khusrin Munawi berkata, majlis berkenaan bagaimanapun tidak boleh dilaksanakan di premis awam, termasuk masjid dan surau.

Selain itu, hanya 10 individu sahaja dibenarkan untuk hadir ke majlis akad nikah tersebut, meliputi pasangan pengantin, pendaftar atau penolong perkahwinan, seorang wali, empat wakil bagi kedua-dua pengantin, dan dua orang saksi.

Garis panduan tatacara pelaksanaan majlis akad nikah Selangor itu turut menyatakan majlis akad nikah perlu diselesaikan dalam tempoh 20 minit, termasuk khutbah nikah.

“Akad nikah juga dilaksanakan tanpa berjabat tangan antara pengantin lelaki dengan wali, pendaftar, atau penolong pendaftar perkahwinan.

“Kenduri bagi meraikan majlis perkahwinan adalah dilarang sama sekali,” katanya, kepada The Malaysian Insight.

Sekiranya mana-mana individu yang hadir dijangkiti Covid-19, majlis berkenaan hendaklah dibatalkan, tegasnya.

Mereka juga perlu mematuhi garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepanjang majlis, iaitu berpenutup hidung dan mulut, menggunakan pencuci tangan, dan melaksanakan jarak selamat antara individu.

Tatacara itu terpakai bermula hari ini 18 Mac hingga 17 April depan.

Jabatan Hal Ehwal Agama Pulau Pinang turut mengeluarkan garis panduan sama, namun hanya berkuatkuasa hingga 31 Mac.

Beberapa pasangan pengantin turut menangguhkan majlis kenduri mereka, yang kebetulannya jatuh dalam tempoh perintah kawalan pergerakan ini.

Nur Akmal Ismail, 32, berkata, keluarganya memutuskan untuk menangguhkan majlis kenduri adiknya, selepas pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Isnin.

Majlis berkenaan katanya dijadualkan pada 21 Mac depan, namun ditunda sehingga selepas Aidilfitri.

“Selepas perdana menteri buat pengumuman malam tadi, keluarga terus hubungi pihak penyedia makanan, keluarga pengantin, homestay, dan maklumkan kepada rakan-rakan yang telah dijemput.

“Kerugian ditanggung antara RM8,000 hingga RM10,000, sebab makanan sudah ditempah, barangan-barangan lain lagi yang tidak boleh dipulang balik,” katanya.

Namun, pihaknya bernasib baik kerana penyedia kanopi dan makanan bersedia untuk menangguhkannya sehingga majlis berlangsung

Luqman Nulhakim Hazri, 26, juga bertindak menangguhkan majlis kendurinya.

“Rugi memang rugi, tapi fikir keselamatan orang ramai lagi penting, saya rugi lebih RM20,000 sebab kita dah bayar penuh untuk dewan dan katering.

“Mereka pun tak boleh kembalikan semula duit bayaran sepenuhnya, kecewa tapi apa boleh buat. Majlis tangguh tapi tak tahu bila akan buat majlis semula,” kata doktor tersebut.

Soalan lazim Majlis Keselamatan Negara yang dikeluarkan petang semalam turut melarang penganjuran sebarang majlis kenduri. β€“ 18 Mac, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen