Syarikat bekalan air beri jaminan bekalan berterusan


Kesemua syarikat bekalan air memberi jaminan operasi berjalan seperti biasa dalam tempoh perintah kawalan pergerakan. – Gambar EPA, 18 Mac, 2020.

SYARIKAT bekalan air memberi jaminan pengguna akan terus menikmati bekalan air bersih dalam tempoh perintah kawalan pergerakan mulai esok hingga 31 Mac depan.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Abdul Halim Mat Som berkata operasi Air Selangor terutama di bahagian penting seperti loji rawatan dan pengagihan akan berjalan seperti biasa dalam tempoh itu.

“Air Selangor menasihatkan pengguna air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya agar tidak bimbang kerana Air Selangor akan memastikan bekalan air bersih berterusan sampai ke rumah pengguna,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata bagi mengurangkan kontak rapat, pelanggan digalak menjalankan urusan dan transaksi secara dalam talian berbanding menggunakan perkhidmatan kaunter, sebagai langkah mengurangkan penularan Covid-19.

Di Pulau Pinang, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) Jaseni Maidinsa berkata semua kakitangan PBAPP akan terus menjalankan tugas, sementara kesemua pepasangan bekalan air utama dibuka dan beroperasi penuh untuk memenuhi keperluan bekalan air di negeri itu.

“Keutamaan PBAPP adalah untuk memastikan bekalan air kepada semua penduduk mencukupi iaitu pengguna bekalan air domestik berdaftar dan premis perkhidmatan penting yang lain di Pulau Pinang di samping mengekalkan kebersihan diri yang baik,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kawasan rekreasi meliputi Empangan Air Itam, Taman Rekreasi Bukit Dumbar dan Empangan Teluk Bahang akan ditutup buat sementara waktu.

Di Negeri Sembilan, Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (Sains) yang merupakan perkhidmatan bekalan air terawat di Negeri Sembilan akan beroperasi seperti biasa, jelas Ketua Bahagian Perhubungan Awamnya Norzita Ismail.

“Segala bentuk perkhidmatan yang ditawarkan seperti perkhidmatan kaunter khidmat pelanggan, pusat panggilan, aduan dan permohonan baharu akan berjalan seperti biasa tanpa sebarang perubahan kecuali kaunter Sains di UTC Seremban sahaja ditutup berikutan premis di situ diarahkan tutup pada 18 Mac sehingga 31 Mac 2020,” katanya.

Namun, katanya sebagai langkah mencegah penularan Covid-19, Sains akan mengambil langkah mengurangkan urusan secara bersemuka dan bersentuhan. – Bernama, 18 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen