Korea Utara kecam Trump hina Jong-un ‘gemuk pendek’


Rakyat Korea Utara sangat mengagungkan pemimpinnya, Kim Jong-un dan sensitif dengan kenyataan yang tidak menghormati pemimpin mereka. – Gambar AFP, 15 November, 2017.

MEDIA tempatan Korea Utara mengecam Donald Trump kerana menghina pemimpin Kim Jong-un, berkata presiden Amerika Syarikat (AS) itu layak dikenakan hukuman mati dan menggelarnya pengecut kerana membatalkan lawatan ke sempadan Korea.

Menerusi sidang pengarang akhbar parti pemerintah, Rodong Sinmun lawatan Trump ke Korea Selatan minggu lalu dikutuk, ketika di mana Trump bercakap mengenai pemerintahan Korea Utara sebagai “diktator kejam” dalam ucapannya di Seoul.

Lawatan itu sebahagian kunjungannya ke lima negara Asia, bertujuan berkempen menentang program nuklear Korea Utara.

“Jenayah paling teruk dan tidak boleh dimaafkan ialah apabila dia berani menyakiti maruah kepimpinan tertinggi kita,” kata sidang pengarang itu.

“Dia patut tahu dia hanya penjenayah yang sepatutnya dihukum mati oleh rakyat Korea.”

Sejak menjadi presiden, Trump berperang mulut dengan Jong-un, saling bertukar hinaan berbentuk peribadi dan ancaman serangan ketenteraan.

Ketika programnya menjelajah Asia hampir tamat, Trump menerusi Twitter dari Hanoi bertindak semakin melampau apabila mempersendakan ketinggian dan berat badan pemimpin Korea Utara itu.

“Kenapa Kim Jong-un hina saya dengan panggil saya ‘tua’, sedangkan saya tidak pernah panggil dia ‘pendek dan gemuk’?,” katanya.

Anggota dalam dinasti pemerintahan Kim – dulu dan sekarang – statusnya seperti Tuhan di Korea Utara, dan rakyatnya amat sensitif kepada mana-mana kenyataan yang mungkin mengejek atau biadab terhadap kepimpinan mereka.

Sidang pengarang itu juga menyentuh mengenai kegagalan Trump melawat zon bebas tentera (DMZ) yang memisahkan antara dua negara Korea itu – secara tradisinya menjadi tempat persinggahan pegawai AS yang melawat Korea Selatan.

Helikopter yang membawa Trump ke DMZ berpatah balik selepas hanya lima minit terbang kerana cuaca buruk – alasan yang ditolak oleh akhbar itu.

“Bukan masalah cuaca. Dia yang terlalu takut berdepan dengan tentera kami,” kata sidang pengarang itu. – AFP, 15 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen