KENDERAAN tentera kelihatan berlegar di sana sini di ibu kota Zimbabwe dan bunyi tembakan masih kedengaran berhampiran kediaman rasmi presiden awal pagi ini.
Keadaan itu menimbulkan tanda tanya berhubung kuasa presidennya Robert Mugabe, walaupun pasukan tentera nafi melakukan rampasan kuasa di stesen televisyen negara itu.
Ketegangan antara Mugabe, 93, dengan pasukan tentera yang selama ini membantunya, semakin teruk apabila parti Mugabe, ZANU-PF menuduh ketua panglima tentera Jeneral Constantino Chiwenga melakukan pengkhianatan.
Tindakan ketenteraan dilihat sebagai cabaran besar terhadap Mugabe, tetapi Mejar Jeneral Sibusiso Moyo ke stesen televisyen negara awal hari ini untuk menafikan tentera sedang menyasarkan pemimpin itu.
“Ini bukan pengambilalihan kerajaan,” kata Moyo, membaca satu kenyataan.
“Kami mahu memberi jaminan yang presiden dan keluarganya selamat dan keselamatan mereka terjamin.
“Kami hanya menyasarkan penjenayah di sekelilingnya. Sebaik saja misi kami berjaya, kami menjangkakan situasi akan kembali seperti biasa,” katanya.
Chiwenga terdahulu mendesak Mugabe, yang memerintah negara itu sejak kemerdekaan dari Britain pada 1980, supaya berhenti menyingkirkan pemimpin kanan parti, termasuk naib presiden Emmerson Mnangagwa, yang dipecat minggu lalu.
ZANU-PF berkata pendirian Chiwenga “jelas mengganggu ketenteraman negara dan mencadangkan tindakan pengkhianatan dan ia bermakna mencetuskan pemberontakan”.
Sebelum disingkirkan, berlaku pertelingkahan berulang kali antara Mnangagwa dengan isteri Mugabe iaitu Grace, 52, yang dilihat mahu bersaing dengan Mnangagwa untuk jadi presiden berikutnya. – AFP, 15 November, 2017.
Komen