Menteri rayu rakyat hentikan pembelian panik


Ravin Palanisamy

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi berkata bekalan barangan untuk semua rakyat Malaysia mencukupi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 17 Mac, 2020.

MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi merayu rakyat Malaysia supaya bertenang dan tidak melakukan pembelian panik kerana bekalan masih mencukupi sepanjang tempoh kawalan pergerakan selama 14 hari.

Katanya, rakyat tidak perlu bimbang dengan bekalan barangan dan beliau memerlukan kerjasama semua pihak bagi memastikan rakyat Malaysia mendapat keperluan mereka sepanjang tempoh kawalan pergerakan itu.

“Kami merayu rakyat supaya tak buat pembelian panik kerana situasi semasa sebenarnya tidak menuntut mereka berbuat demikian dan menyimpan bekalan lebih.

“Bekalan mencukupi. Jadi tak perlu pembelian panik. Kita akan pastikan pasar raya dan kedai lain ada bekalan,” katanya kepada wartawan pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Nanta Linggi berkata pembelian panik boleh menjejaskan pembekal dan pasar raya kerana mereka memerlukan lebih banyak bekalan untuk dijual.

“Jika pembelian panik berlaku, ia akan menyebabkan banyak masalah kerana semua orang hendak beli, jadi kena ada lebih banyak bekalan untuk diedarkan.

“Bekalan mencukupi tetapi kita perlukan logistik. Jadi sebab itu kami minta kerjasama semua orang. Jika kita tak buat pembelian panik, kita boleh selesaikan banyak masalah,” katanya.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin malam tadi mengumumkan perintah kawalan pergerakan akan berkuat kuasa esok sehingga 31 Mac bagi mengekang wabak Covid-19.

Ini adalah kali pertama perintah itu akan dilaksanakan di bawah Akta  Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Kes Covid-19 naik mendadak degan 190 jangkitan baharu pada Ahad lepas dan 125 kes dilaporkan semalam, membawa kepada jumlah kes 553.

Daripada jumlah itu, 511 masih dirawat di hospital, manakala bakinya pula sudah dibenarkan keluar selepas disahkan pulih.

Ditanya sama ada wujud sebarang sekatan terhadap pembelian barangan tertentu sepanjang 14 hari kawalan pergerakan, Nanta Linggi berkata setakat ini masih belum ada sekatan tetapi ia akan dipertimbangkan sekiranya wujud keperluan. – 17 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen