Pulau Pinang sedia RM20 juta untuk peniaga kecil terjejas kawalan Covid-19


Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata peruntukan itu bagi membantu peniaga yang tidak dapat menjalankan perniagaan akibat Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 hingga 31 Mac. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Mac, 2020.

KERAJAAN Pulau Pinang mengumumkan dana bantuan RM20 juta bagi peniaga kecil yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Chow berkata peruntukan itu bagi membantu peniaga yang tidak dapat menjalankan perniagaan akibat perintah kawalan bermula 18 hingga 31 Mac.

“Kita sudahpun peruntukkan RM20 juta ini dulu, tapi bagaimana insentif ini diberikan belum dimuktamadkan.

“Kita asingkan dahulu bajet ini, kemudian kita akan lihat bagaimana dapat bantu penjaja dan peniaga kecil yang terkesan akibat perintah larangan pergerakan Covid-19,” kata beliau dalam satu sidang media di Georgetown.

Perintah Kawalan Pergerakan dijangka akan menjejaskan peniaga dan penjaja kecil, kerana orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berada di dalam rumah.

Menurut Chow, dana RM20 juta itu adalah mesej bahawa kerajaan negeri sentiasa bersama rakyat.

“Bajet RM20 juta digunakan untuk pemberian insentif-insentif tertentu untuk membantu meringankan beban rakyat khususnya golongan yang terjejas akibat wabak ini.

“Kita tahu bahawa insentif itu bukan jumlah angka yang besar tetapi itulah cara kita sampaikan mesej bahawa kita bersama dengan rakyat yang terima impak Covid-19,” tambah beliau.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa mulai 18 hingga 31 Mac untuk membendung penularan Covid-19.

Larangan dikenakan bagi semua pergerakan beramai-ramai dan perhimpunan, termasuk keagamaan, sukan, sosial dan aktiviti kebudayaan.

Semua rumah ibadat dan premis perniagaan akan ditutup, kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka menjual barangan keperluan harian.

Dalam ucapan disiarkan langsung malam tadi, Muhyiddin berkata perintah tersebut dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.  – 17 Mac, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Pulau Pinang sedia RM20 juta untuk peniaga kecil terjejas kawalan Covid-19

    MACAM MANA NAK BUAT APPLY DAN DI TEMPAT MANA NAK BUAT PENDAFTARAN

    Dimuat naik 4 tahun yang lalu oleh NG JENN BIN · Ulasan