Ketua hakim arah semua bicara kes tangguh 2 minggu


Bede Hong

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mengarahkan semua perbicaraan kes di mahkamah seluruh negara ditangguhkan dua minggu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Mac, 2020.

KETUA Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mengarahkan perbicaraan semua kes jenayah dan sivil yang dijadualkan esok sehingga 31 Mac ditangguhkan, dengan tarikh baharu bicara akan ditetapkan kemudian.

Arahan itu dikeluarkan selaras dengan perintah kawalan pergerakan dikeluarkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin malam tadi, yang bertujuan mengekang penyebaran wabak Covid-19 yang kini sudah menjangkiti 553 orang setakat semalam.

Pengumuman penangguhan itu dibuat menerusi pekeliling dikeluarkan Ketua Pendaftar Kehakiman Mahkamah Persekutuan Ahmad Terridudin Mohd Salleh yang menyatakan arahan itu dikuatkuasakan untuk semua jenis mahkamah di seluruh negara.

Tarikh bicara lain akan ditetapkan kemudian, tambahnya.

Arahan terbaru itu bermakna perbicaraan kes 1MDB melibatkan Najib Razak yang berdepan 25 pertuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa berjumlah RM2.28 bilion akan ditangguh sekali lagi.

Ia sepatutnya kembali bersambung pada Khamis ini.

Ahmad Terrirudin dalam pekeliling dikeluarkan hari ini berkata pemfailan kes sivil dan notis rayuan serta dokumen mahkamah lain masih boleh dilakukan dengan sistem e-filing.

Bagaimanapun, untuk kes mahkamah yang tidak menggunakan sistem eKehakiman, pemfailan boleh dibuat kembali pada 1 April. – 17 Mac, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen