SEBUAH tren transit aliran massa (MRT) di Singapura melanggar sebuah tren lain yang sedang berhenti di Stesen MRT Joo Koon ketika waktu puncak pagi tadi, menyebabkan 25 cedera, lapor portal berita Channel News Asia.
Semua yang cedera, 23 penumpang dan dua kakitangan SMRT Corporation, syarikat pengendali pengangkutan awam republik itu, dikejarkan ke hospital berdekatan.
Kejadian berlaku ketika dua laluan MRT di republik itu, Laluan Timur-Barat dan Laluan Lingkaran pagi tadi mengalami kelewatan pada waktu puncak, lapor CNA.
SMRT dalam satu kenyataan memaklumkan tren pertama yang dalam perjalanan menuju ke Stesen Tuas Link terhenti di Stesen Joo Koon pada pukul 8.18 pagi. Seminit kemudian, tren yang kedua yang menyusul berhenti di belakang tren yang pertama.
“Pada pukul 8.20 pagi, tren yang kedua melajak dan melanggar tren yang pertama,” kata kenyataan itu melalui akaun Facebooknya.
SMRT dan Lembaga Pengangkutan Darat Singapura (LTA) masih menyiasat kejadian.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura dalam kenyataannya yang disiarkan di Facebook berkata semua penumpang yang cedera dan kebanyakannya mengalami kecederaan ringan dihantar ke Hospital Besar Singapura dan Hospital Ng Teng Fong.
Menurut penumpang yang memuat naik insiden itu di media sosial, berkata MRT yang sedang bergerak terjatuh apabila kemalangan berlaku.
Perlanggaran itu menyebabkan perkhidmatan MRT di laluan Timur-Barat republik berkenaan terganggu, lapor Berita Harian. – 15 November, 2017.
Komen