RAKYAT Malaysia tidak dibenar berulang-alik ke Singapura dan Thailand untuk bekerja apabila perintah kawalan pergerakan dikuatkuasa esok, menurut Jabatan Imigresen Malaysia.
Ketua pengarahnya, Khairul Dzaimee Daud berkata larangan itu dikuatkuasa sepanjang tempoh kawalan 18 hingga 31 Mac untuk mengawal sebaran Covid-19.
Larangan keluar negara ke atas warganegara Malaysia sepertimana yang diumumkan oleh (perdana menteri) adalah termasuk mereka yang berulang alik bekerja di Singapura dan Thailand berkuatkuasa mulai 18 Mac sehingga 31 Mac 2020,” katanya.
Persoalan mengenai kebenaran berulang-alik rentas sempadan itu antara perkara yang dibangkitkan selepas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada malam tadi mengumumkan sekatan kepada semua rakyat daripada keluar negara.
Beliau juga mengumumkan, perintah kawalan itu menyekat semua pelancong lain masuk ke Malaysia.
Rakyat yang kembali ke negara ini pula diwajibkan menjalani saringan kesihatan.
Selain itu, semua premis perniagaan dan pejabat kerajaan diarah tutup, kecuali yang menjual barangan keperluan dan menyedia perkhidmatan penting.
Perkhidmatan penting itu termasuk yang terlibat dengan air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, perkhidmatan pos, pengangkutan maritim, petroleum, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, penyelamat, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pencucian dan bekalan makanan.
Semua institusi pendidikan juga ditutup untuk tempoh itu dan semua peperiksaan ditangguhkan.
Jamuan kenduri juga tidak dibenarkan, upacara pengkebumian pula dibuat pada skala kecil untuk mengelak kelompok ramai.
Tiada sebarang perhimpunan besar dibenarkan dan upacara keagamaan disekat di semua rumah ibadat termasuk solat Jumaat.
Muhyiddin juga terdahulu mengumumkan skim bantuan khas RM600 kepada pekerja yang dipaksa mengambil cuti tanpa gaji untuk tempoh itu. – 17 Mac, 2020.
Komen