Johor adakan mesyuarat bincang nasib rakyat bekerja di Singapura


Pengarah Imigresen Johor Baharudin Tahir berkata perintah kawalan pergerakan turut tertakluk kepada mereka yang bekerja di Singapura dan berulang-alik ke Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Mac, 2020.

KERAJAAN negeri Johor akan mengadakan satu mesyuarat khas dalam masa terdekat ini bagi membincangkan nasib rakyat negeri itu yang bekerja dan berulang-alik ke Singapura susulan perintah kawalan pergerakan yang diisytiharkan lamsem, bagi menyekat penularan Covid-19 di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri Mohd Izhar Ahmad berkata kerajaan negeri akan mengikuti perintah kawalan pergerakan yang bermula esok demi kepentingan rakyat.

Satu mesyuarat khas akan dijalankan sama ada hari ini atau esok, membabitkan agensi yang terlibat termasuk berkaitan penduduk di negeri ini yang mencari rezeki di negara jiran Singapura.

“Kita juga akan berhubung dengan kerajaan pusat bagi membincangkannya dan hasil keputusan akan diumumkan oleh Menteri Besar Hasni Mohammad.

“Menteri besar juga akan mengumumkan langkah-langkah untuk mengatasi masalah Covid-19 terutama yang membabitkan rakyat di negeri ini,” katanya.

Difahamkan kira-kira 100,000 penduduk di negeri ini yang berulang-alik setiap hari untuk bekerja di negara seberang tambak berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Imigresen Johor Baharudin Tahir menjelaskan perintah kawalan pergerakan turut tertakluk kepada mereka yang bekerja di republik itu serta berulang-alik ke Malaysia.

“Setakat ini, mengikut pemahaman saya memang ya. Jabatan Imigresen Malaysia akan memperincikannya hari ini. Sebaik siap, kami akan keluarkan arahan atau pekeliling,” katanya.

Bagaimanapun, mereka yang mahu mengetahui lebih lanjut boleh menghubungi talian hotline 03-88882010 bermula dari 12 tengah hari ini.  – Bernama, 17 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen