AHLI Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii diuji positif Covid-19, kata Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen.
Menurut Chong, Yii kini dikuarantin di Hospital Umum Sarawak selepas Jabatan Kesihatan negeri malam tadi mengesahkan hasil ujian virus itu.
Chong yang turut menjalani ujian Covid-19 didapati bebas daripada jangkitan.
Mereka berdua menjalani ujian selepas berurusan dengan Ahli Parlimen Sarikei Wong Ling Biu yang disahkan positif pada 2 Mac lalu.
“Beliau (Yii) masih belum menunjukkan gejala dan dalam keadaan stabil,” kata Chong.
Menurut seorang doktor di hospital itu risiko Yii dijangkiti virus itu lebih rendah kerana tidak menunjukkan sebarang gejala selepas bertemu Wong.
Chong yang juga ahli Parlimen Stampin berkata Jabatan Kesihatan Sarawak sedang mengesan individu yang mempunyai kontak rapat dengan Yii dan sumber jangkitan yang berkemungkinan selain Wong.
Setakat jam 11 pagi tadi, Sarawak mengesahkan lapan lagi kes Covid-19. Ini menjadikan jumlah keseluruhan di negeri itu kini 42 kes.
Daripada lapan kes baharu itu, lima pesakit ditempatkan di Hospital Umum Sarawak, satu di Hospital Sibu dan dua di Hospital Miri, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak.
Seramai 35 individu diletakkan di bawah pemerhatian, tambah jawatankuasa itu. – 17 Mac, 2020.
Komen