Beras, mi segera, lampin berkurang kerana pembelian panik


Ravin Palanisamy Zaim Ibrahim

Kebanyakan bekalan di rak pasar raya hampir kehabisan susulan pembelian paik di Lembah Klang hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 16 Mac, 2020.

BERAS, susu tepung dan mi segera di rak pasar raya mula berkurangan sejak pagi ini berikutan rakyat Malaysia mula menyimpan bekalan susulan peningkatan kes wabak Covid-19 sejak beberapa hari lalu.

Tinjauan The Malaysian Insight di pasar raya di Lembah Klang dan Pulau Pinang mendapati orang ramai mula membeli barangan kering dan barangan kelengkapan diri.

Kebanyakan mereka yang ditemui The Malaysian Insight menolak dakwaan mereka “panik” dan mengatakan mereka “hanya bersiap sedia” sekiranya kerajaan mengumumkan perintah berkurung bagi mengekang penularan Covid-19.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan membuat pengumuman berhubung situasi Covid-19 pada pukul 9 malam ini. Setakat ini, pelbagai pihak mendesak kerajaan untuk melaksanakan perintah berkurung bagi mengekang penularan wabak itu.

Daripada 10 pelanggan yang ditemui The Malaysian Insight, hanya seorang sahaja menyatakan tidak menyimpan bekalan manakala selebihnya mengakui mereka “bersedia untuk perintah berkurung”.

“Saya hanya mahu berjaga-jaga. Beli sekarang, dan sekiranya berlaku apa-apa kemudian, saya boleh duduk rumah sahaja,” kata Nancy, 36, yang merupakan suri rumah ketika ditemui di luar pasar raya di Mid Valley Megamall in Kuala Lumpur.

Nancy membawa dua troli barang yang penuh dengan susu tepung, beras, tisu, telur dan air mineral.

Seorang lagi pengguna yang ditemui, May, 37 berkata, peningkatan mendadak kes Covid-19 membimbangkannya.

“Ia mengejutkan. Jadi, saya bersedia untuk perkara buruk. Saya ada anak kecil di rumah dan jika kerajaan umum perintah berkurung, yang menjadi buah mulut sekarang, maka kami sudah sedia.”

Seorang lagi suri rumah, Assunta, yang turut membeli belah di Mid Valley berkata, nampaknya keadaan di Kuala Lumpur juga sama.

“Orang ramai macam ini pada hari Isnin sangat luar biasa,” katanya merujuk kepada barisan panjang di pasar raya.

“Banyak barangan uyang sudah habis jadi saya tidak boleh membelinya. Saya ada keluarga besar dan saya perlu banyak barangan. Jadi, mungkin saya akan minta suami saya cari di mana-mana bila dia pulang dari kerja.,” kata wanita berusia 37 tahun itu.

Di pasar raya, rak yang biasanya penuh dengan barangan seperti tisu basah, pencuci tangan dan lampin kini kosong.

Bekalan susu tepung, mi segera, biskut dan telur juga kehabisan. – 16 Mac, 2020.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen