Pembelian panik kerana berita palsu perintah berkurung, kata polis


Pengguna di Petaling Jaya dikesan membeli barang keperluan dalam jumlah banyak sebagai persiapan ekoran penularan laporan palsu itu.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 16 Mac, 2020.

TINDAKAN pengguna membuat pembelian panik berpunca daripada laporan palsu yang tuliar di media sosial mendakwa kerajaan mengeluarkan perintah berkurung, kata Polis Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Ezanee Mohd Faisal berkata pengguna di daerah terbabit dikesan membeli barang keperluan dalam jumlah banyak sebagai persiapan ekoran penularan laporan palsu itu.

“Polis menegaskan setakat ini tiada sebarang arahan perintah berkurung berikutan Covid-19 diisytiharkan oleh kerajaan.

“Oleh itu orang ramai diminta untuk sentiasa membuat semakan dari masa ke masa menerusi bertanggungjawab seperti Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.

“Orang ramai juga boleh menghubungi balai polis berdekatan untuk mendapatkan pengesahan,” kenyataan Ezanee dipetik.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dijangka membuat pengumuman baharu malam ini selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara berkaitan tindakan menangani wabak Covid-19.

Terdahulu, satu kumpulan doktor menggesa kerajaan mengambil langkah segera untuk menguatkuasa perintah berkurung untuk mengurangkan risiko dan meningkatkan pengesanan kes.

Sebanyak 125 kes baharu dikesan Covid-19 pada hari ini, termasuk 95 kes berkait dengan perhimpunan tabligh di Seri Petaling, kata Kementerian Kesihatan.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan 553 kes setakat ini, dan jumlah pesakit yang pulih kekal 42 orang tanpa pertambahan. – 16 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen