BAPA saudara Kate Middleton yang juga Duchess of Cambridge Britain mengaku bersalah atau tuduhan menumbuk muka isterinya ketika mabuk, bulan lalu.
Gary Goldsmith, 52, didakwa menumbuk Julie-Ann Goldsmith hingga jatuh di luar kediaman mereka di tengah London dan dibiarkan dalam keadaan separuh sedar pada 13 Oktober lalu.
Goldsmith ialah adik kepada Carole Middleton, iaitu ibu Kate.
Beliau didakwa di Mahkamah Majistret Westminster atas kesalahan itu.
Mahkamah menetapkan 21 November untuk menjatuhkan hukuman ke atas Goldsmith.
Ketua Majistret Emma Arbuthnot, mempertimbangkan untuk mengenakan hukuman perintah komuniti berbanding penjara ke atas Goldsmith.
“Tetapi saya sedang mencari jalan bagaimana untuk melindungi wanita itu (isteri) daripada lelaki ini,” katanya.
Sementara itu, mahkamah diberitahu bahawa pasangan itu mula bergaduh di dalam sebuah teksi selepas menghadiri satu majlis amal, sebelum terus bergaduh di depan rumah mereka.
Pendakwa raya Kate Shilton berkata Julie-Ann terjatuh selepas Gary menumbuknya dengan tangan kirinya, sambil disaksikan pemandu teksi, Daniel Shepherd.
“Selepas kedua-duanya keluar dari teksi, Shepherd melihat Julie-Ann menampar muka suaminya.
“Gary membalas perbuatan itu dengan menumbuk muka isterinya dengan tangan kiri, mengakibatkan Julie-Ann terbaring dengan mata tertutup kira-kira 15 saat.
“Ia menyebabkan Gary ketakutan dan cuba memujuk isterinya masuk ke dalam rumah,” kata Shilton.
Shilton berkata Gary bertindak agresif ketika Shepherd menegur perbuatan itu, sehingga menyebabkan isterinya mendesak pemandu teksi terbabit menelefon polis. – AFP, 15 November, 2017.
Komen