Ahli Parlimen disiasat kes salah guna kuasa pengarah pelabuhan


Kalidevi Mogan Kumarappa

Menurut sumber, ahli Parlimen itu antara lain didapati melantik syarikat yang berkepentingan bagi projek mengendalikan pelabuhan sejak 2014 hingga sekarang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mac, 2020.

SEORANG ahli Parlimen kini sedang disiasat kerana didakwa menyalahguna kuasa sebagai ahli lembaga pengarah sebuah pelabuhan, kata sumber agensi antirasuah.

Menurut sumber, ahli Parlimen itu antara lain didapati melantik syarikat yang berkepentingan bagi projek mengendalikan pelabuhan sejak 2014 hingga sekarang.

Pada sepanjang tempoh berkenaan, ahli Parlimen tersebut juga didakwa terlibat dalam urusan pemilihan syarikat dan bertindak melobi serta mempertahankan syarikat berkaitan.

“Beliau menggunakan pengaruh dan kuasa yang ada untuk memberi tekanan kepada pihak berkuasa pelabuhan untuk menyambung kontrak pengurusan dan pentadbiran pelabuhan yang berkaitan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sumber berkata, agensi antirasuah sedang menyiasat kes ini sejak sebulan lalu dan mengambil keterangan daripada saksi berkaitan.

“Beberapa siri bongkaran dan serbuan juga telah dibuat sejak Februari tahun ini.

“Difahamkan ahli Parlimen tersebut akan dipanggil untuk hadir bagi siasatan dalam masa terdekat,” katanya. – 16 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen