Syed Saddiq hadapi tentangan sengit dari anak buah


SM Amin

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dijangka ditentang pencabar utamanya Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (belakang) yang baru dilantik sebagai timbalan menteri dalam Kabinet baharu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mac, 2020.

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman dijangka hadapi tentangan sengit dalam pertandingan tiga penjuru untuk jawatan ketua Pemuda Bersatu yang dijadualkan berlangsung pada 11 April, kata sumber parti.

Sumber percaya tentangan utamanya Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang baru dilantik sebagai timbalan menteri dalam Kabinet baharu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Oleh itu sumber berpendapat ia meletakkan Fayhsal dalam kedudukan lebih baik untuk mengatasi Syed Saddiq dan seorang lagi pencabar, Mohd Muzammil Ismail yang juga anggota exco Pemuda Bersatu.

“Fayhsal ada mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua Armada baru-baru ini untuk melihat sokongan.

“Dengan kapasiti sebagai timbalan menteri, sokongan terhadap Saddiq sebelum ini akan beralih kepada Fayhsal,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Fayhsal mengangkat sumpah sebagai timbalan menteri belia dan sukan Selasa lalu selepas dilantik menjadi Senator pada hari yang sama.

Seorang lagi sumber parti melihat, sokongan terhadap Syed Saddiq merosot selepas bekas menteri belia dan sukan itu tidak dilantik untuk menganggotai jemaah kabinet Muhyiddin, yang juga presiden parti.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamaldilantik menjadi Senator pada 10 Mac lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mac, 2020.

Menurut sumber, kemerosotan sokongan terhadap Syed Saddiq bukan sahaja daripada ahli-ahli Armada tetapi juga dari kalangan ketua-ketua Bersatu bahagian.

Ini disebabkan Syed Saddiq memihak kepada Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad dan tidak menyokong Muhyiddin dalam pertembungan dua pemimpin utama Bersatu itu.

“Syed Saddiq ikut geng penentang presiden. Kalau ketua bahagian minta ahli Armada jangan bagi undi dekat dia sebab langgar presiden, habislah.

“Saya sudah dengar beberapa ketua bahagian sudah keluar arahan macam itu,” kata sumber.

Sementara itu, Muzammil ketika dihubungi The Malaysian Insight berkata beliau kekal untuk bertanding ketua Armada dan yakin mampu merampas jawatan tersebut.

“Dahulu orang yang menyokong Syed Saddiq ini banyak atas faktor dia menteri. Mungkin sebab peruntukan. Sekarang dia bukan menteri lagi. Harapan untuk saya menang lebih cerah berbanding sebelum ini.

“Jika Fayhsal bertanding, saya harap dia akan pecahkan undi Syed Saddiq sebab mereka ini dari kumpulan yang sama sebelum ini,” katanya.

Fayhsal merupakan pegawai khas kepada Syed Saddiq sewaktu dalam pentadbiran Pakatan Harapan, sebelum dilantik menyertai kabinet Perikatan Nasional. – 16 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen