Pantang Melayu khianat 


Hasmi Hashim

TIDAK ada ibu bapa kita, yang mengajar anak-anaknya mencuri atau merompak. Demikian jugalah tidak ada ibu bapa Melayu yang mengajarkan anak-anak supaya berkhianat. Tidak kira sama ada ibu bapa itu berparti atau tidak.

Memang betul, sebesar mana pun kesalahan mencuri dan merompak, bagi orang Melayu, besar lagi dosa berkhianat. Habis cerita!

Mencuri dan merompak tidak membuatkan sesuatu bangsa itu lekas runtuh. Bangsa akan mudah runtuh kalau wujud anasir-anasir pengkhianatan di dalamnya.

Kebencian Melayu kepada kaum Yahudi kuno juga atas sebab yang sama, kerana mereka suka berkhianat. Mereka juga berdusta bila berjanji.

Kezaliman Yahudi bukan sahaja kepada kaum-kaum lain, bahkan kepada para Nabi di kalangan kaumnya sendiri. Banyak kisah-kisah pengkhianatan dapat ditemukan di dalam sejarah Islam, yang menjadi panduan dalam beragama bagi orang Melayu.

Mengenai topik ini, elok kita serahkan sahaja kepada agamawan, mufti atau menteri agama untuk mengulasnya. 

Mereka lebih layak dan arif — dan, apakah Islam membenarkan pengkhianatan dilakukan atas nama agama atau bangsa? Bersekongkolan dengan perbuatan khianat, apakah suci mulia di mata agama? Atau pengkhianatan juga boleh dijadikan alasan dengan dianggap sebagai ‘strategi’?

Walaupun soalan ini nampak sangat asasi dan mudah — seperti soalan anak kecil kepada ibu-bapanya — namun saya tidak yakin para agamawan, mufti bahkan menteri agama dapat menjawabnya dengan mudah kali ini. Jawapannya mungkin berkelit-kelit.

Soalan yang mudah menjadi sukar terutama kepada mereka yang bersekongkol dengan “Langkah Sheraton” atau mendapat nikmat daripadanya. Kebenaran jadi songsang.

Dalam filem “Sarjan Hassan” (1958), P Ramlee telah merakamkan bagaimana bencinya orang Melayu kepada watak yang bernama Buang, yang menjadi tali barut Jepun.

Buang tidak ada bakat dan kemampuan apa-apa. Dia banyak kelemahan dan bukan anak Melayu yang terbaik, meski dia cuba berlagak seperti itu. Buang sama sekali tidak punya keyakinan diri.

Mungkin dengan menyedari kelemahan yang ada padanya, Buang tidak mahu bersaing secara lelaki budiman. Dia perlu mengkhianati kawan-kawan dan bangsanya untuk mencapai cita-cita memperolehi kuasa. 

Dengan kuasa, Buang boleh hidup kaya, bermegah-megah, serta menjadikan bangsanya laksana hamba sahaya. Buang tidak ada visi apa-apa, kecuali kuasa.

Menjadi tali barut Jepun bukanlah kisah rahsia dalam tahun-tahun pendudukan tentera Nippon di Asia Tenggara. Kisah pengkhianatan terdengar di mana-mana, sama ada di Tanah Melayu sampailah ke Pulau Jawa. 

Di Jawa, perlawanan ke atas pendudukan Jepun turut kuat dilakukan oleh kumpulan agama yang dikenali sebagai Nahdatul Ulama (NU). 

Pimpinan besar NU, Kiai M Hasyim Asy’ari juga pernah ditangkap, dipasung dan disiksa Jepun — meski pada awalnya, Tentera Jepun cuba menampilkan wajah yang bersih, menyantuni masyarakat tempatan dan lemah lembut.

Ketika di dalam penjara, Kiai Hasyim telah menyaksikan dengan mata kepalanya betapa zalim dan kejamnya hidup di bawah kekuasaan Jepun. Dia tidak mengalah. Seluruh anak santri NU juga tidak mengalah — dan mungkin disitulah dapat kita lihat perbezaan besar gerakan dakwah dan Islam, dahulu dan kini.

Pengkhianatan bukan akhir bagi sebuah kezaliman. Apabila wujudnya pengkhianatan, ia petanda kezaliman yang sebenarnya, baru bermula.

Kelak ketika pengkhianatan berada di kemuncak, kita pasti akan dapat mendengar kembali suara-suara tangisan. Mungkin tidak ubah dengan suara anak muda atau orang tua yang dipukul, malahan anak gadis yang dirogol oleh penguasa sepertimana yang didengari oleh Kiai Hasyim di dalam tahanan Jepun.

Cepatnya Jepun menusup ke Asia Tenggara kerana ada tali barut di kalangan anak tempatan. Kalau tidak boleh diupah, sebahagiannya dipaksa dan diugut agar menikam bangsanya sendiri. Sebahagian lagi diberikan jawatan. Memang telah selalu kita dengar, Melayu tikam Melayu. Bukanlah bangsa lain.

Sesungguhnya tidak ada kebaikan yang boleh dibangun atau ditegakkan di atas pengkhianatan. Pengkhianatan tidak ubah seperti punca virus Covid-19. Sang pengkhianat itu pula merupakan pembawa virus untuk merebak, melemahkan serta membunuh.

Betapa bencinya orang Melayu kepada sikap khianat, di dalam sejarahnya yang terkenal, semua ahli keluarga Si Kitol dihukum mati. Kita tahu, Si Kitol merupakan salah seorang yang belot dan khianat, yang membuka pintu kubu Melaka ketika diserang tentera Portugis di awal abad ke-16.

Tidak sekedar itu, rumah sang pengkhianat dibumi-hanguskan dan tapaknya digali, dibongkar. Kemudian dibuang tanah-tanahnya yang dikumpulkan, ke laut! 

Hukuman kepada pengkhianatan yang sebegitu rupa bukan sahaja di Melaka, tetapi juga wujud dalam kanun Pahang tua. Ia pernah diceritakan kembali oleh Munshi Abdullah dalam catatan “Pelayaran Abdullah Mushi.” 

Maknanya, bentuk hukuman yang berat bukan sesuatu yang luar biasa atau unik dalam pemikiran dan budaya Melayu dalam berhadapan dengan dosa-dosa besar, termasuk pengkhianatan.

Di atas semua sejarah itulah, kemudiannya membentuk kesedaran Melayu moden, yakni Melayu hari ini — tentang setia lawan khianat. Kebencian orang Melayu bukanlah kepada liberalisme, sekularisme atau apa sahaja ideologi yang sering dijadikan hantu bergetayangan di jendela politik. Semua itu tidak menakutkan.

Apa yang menakutkan, ialah apa yang sekarang sedang hangat dibincangkan di warung dan masjid-masjid, di kenduri-kendara atau dalam grup-grup WhatsApp: yakni, pengkhianatan. Yakni tentang sebuah kerajaan pintu belakang, yang tidak berdemokratik.

Namun, selagi mana ibu bapa di setiap rumah, mengajarkan bahawa mencuri, merompak dan berkhianat itu salah serta jijik, selama itulah kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak senang duduk. 

Sesama mereka pun akan wujud syak wasangka 25 jam sehari, lapan hari seminggu. Hanya menunggu masa, siapa menikam siapa. Dari belakang. Di dalam gelap. Macam biasa.

Maka arang yang terpalit di muka Umno dan PAS — dua parti Melayu-Islam yang bersekongkol dengan pengkhianatan untuk mendirikan kerajaan pintu belakang — tidak akan berubah menjadi bedak. Bagi orang Melayu, mereka cukup tahu membezakan antara arang serbuk dengan bedak. Antara hitam dengan putih. Antara kejahatan dengan kemuliaan.

Jubah atau songkok, serban atau sampin tenun bunga, tidak akan dapat menutup wajah yang buruk, dan hati yang rosak.

Dalam pesannya yang terakhir, Sarjan Hassan berkata, “janganlah ada lagi di dalam bangsa kita, manusia (pengkhianat) seperti ini lagi.” – 16 Mac, 2020.

* Hasmi Hashim atau Budi Hekayat adalah penulis lirik dan antara pendiri kelompok kebudayaan Jalan Telawi.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen