PKR kekal teguh sebagai parti masa depan rakyat Malaysia


PERKEMBANGAN politik tanahair mutakhir ini sangat tidak menentu. Krisis politik yang tercetus sejak “Langkah Sheraton” membingungkan rakyat Malaysia terutama anak muda tentang kebenaran apa yang sudah berlaku kepada politik negara. 

Kerajaan yang terbentuk hari ini bukanlah pengkhianatan kepada PKR dan Pakatan Harapan sahaja, lebih teruk ia adalah pengkhianatan kepada mandat yang sudah diberikan oleh rakyat ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 lepas.

Lebih menyedihkan apabila pembinaan “Kerajaan Pintu Belakang” ini disambut baik oleh Umno dan PAS atas alasan kerajaan tanpa DAP dan Anwar Ibrahim. 

PAS tidak berdaya mengangkat presiden mereka sendiri sebagai calon perdana menteri. Kelemahan PAS semakin jelas apabila sanggup bersekongkol dengan perancang utama “Langkah Sheraton” dan hanya bersetuju bersama Bersatu (aliran Muhyiddin Yassin) untuk mengangkat Muhyiddin sebagai perdana menteri. 

Perjuangan PAS hari ini nampaknya lebih kepada “asal bukan Anwar”. Betapa tidak merdeka dan kecil jiwa pemimpin-pemimpin PAS.

Kedudukan Perikatan Nasional sebagai sebuah kerajaan nampak seperti telur dihujung tanduk. Perebutan politik kuasa diantara Umno, Bersatu blok Muhyiddin serta blok Mohamed Azmin Ali akan terus berlaku dalam keadaan negara berdepan ekonomi yang tidak menentu, kejatuhan saham serta ancaman  wabak Covid-19. 

Umno sebagai blok ahli Parlimen terbesar dalam “Kerajaan Pintu Belakang” ini akan terus menekan Muhyiddin untuk memenuhi segala permintaan mereka. Jika Umno tarik semula sokongan kepada Muhyiddin, maka kerajaan jatuh. Umno bukanlah parti berpengalaman dalam hal berkongsi kuasa.

Justeru itu, PKR perlu bergerak ke hadapan tanpa menoleh ke belakang. Biarkanlah mereka yang sudah dan akan membuat keputusan untuk keluar dewan. Menikmati nikmat ditawarkan  wang ringgit dan jawatan di jabatan.

Hormati keputusan mereka untuk terjun ke gaung bersama pemimpin yang mereka taasub. Syukur kepada Ilahi kerana kita ada masa sebelum PRU15 untuk memperbaiki sedikit-sebanyak kerosakan yang ditinggalkan.

Angkatan Muda Keadilan (Pemuda) Negeri Johor kekal komited dengan dasar dan perjuangan Reformasi serta fokus kepada isu-isu rakyat.  

Pemimpin datang dan pergi. Tetapi PKR kekal. Jika sudah tidak ada pemimpin yang sanggup pertahan idealisma reformasi, sayap Pemuda sedia menjadi benteng paling hadapan pertahankan panji PKR.

PKR perlu kekal solid sebagai parti masa depan rakyat Malaysia. Tampilkan PKR sebagai parti berasaskan Melayu tetapi inklusif dan terbuka. Buktikan PKR sebagai ‘parti Melayu’ yang terbuka menerima kaum dan bangsa-bangsa lain sebagai satu pasukan perjuangan. 

Wajah parti sebeginilah  yang diimpikan oleh orang Melayu dan kaum-kaum lain. PKR sebagai parti nasionalis yang membentuk negara tanpa prejudis bangsa dan agama.

PKR dan Pakatan Harapan akan terus pertahankan mandat yang diberikan oleh rakyat. Insya-Allah rakyat akan beri semula mandat itu kepada PKR dan Pakatan Harapan ketika pilihan raya umum kelak. – 16 Mac, 2020.

* Hasyir Hashim adalah setiausaha pengelola Pemuda PKR Johor.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen