Mangsa gempa bumi Iran harungi malam kedua di tengah cuaca sejuk


Antara mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital sementara di daerah Pole-Zahab di Kermanshah Iran. Gempa berukuran 7.2 magnitud melanda kawasan sempadan Iran-Iraq menyebabkan ratusan maut manakala ribuan lagi dilaporkan cedera. – Gambar EPA, 14 November, 2017.

PULUHAN ribu rakyat Iran menghabiskan malam kedua di tengah cuaca sejuk selepas gempa bumi 7.3 magnitud melanda berdekatan sempadan Iraq, memusnahkan kediaman mereka dan menyebabkan lebih 400 orang maut.

Sebahagian daripada mereka turut meninggalkan kediaman masing-masing ketika gempa bumi melanda kawasan pergunungan di wilayah barat Iran di Kermanshah dan Kurdistan di Iraq pada Ahad.

Mereka terpaksa mengharungi cuaca sejuk di kawasan terbuka apabila pihak berkuasa berdepan kesukaran untuk mendapatkan bantuan ke kawasan terjejas akibat gempa bumi.

Iran mengisytiharkan hari ini sebagai hari berkabung ketika pegawai menggariskan keutamaan yang paling mendesak dan menggambarkan tahap kemusnahan di beberapa kawasan.

“Keperluan segera adalah khemah, air dan makanan,” kata ketua Pengawal Revolusi Elit Iran, Mejar Jeneral Mohammad Ali Jafari.

“Bangunan yang baru dibina… masih baik, tetapi rumah lama telah hancur sepenuhnya,” beliau memberitahu televisyen negara ketika lawatan ke kawasan yang terjejas.

Jumlah kematian di Iran adalah 413 manakala 6,700 lagi dilaporkan cedera. Kementerian kesihatan berkata lapan orang maut manakala ratusan lagi cedera. Bulan Sabit Merah Iraq melaporkan sembilan orang terbunuh.

Bagaimanapun AFP dan organisasi media lain dihalang daripada memasuki kawasan yang musnah akibat gempa itu.

Pihak berkuasa berkata mereka sedang membina kem pelarian untuk mangsa.

Setakat ini 22,000 khemah, 52,000 selimut dan sejumlah makanan dan air minuman telah diedarkan. Agensi berita IRNA berkata 30 pasukan Bulan Sabit Merah telah dihantar ke kawasan terbabit. – AFP, 14 November, 2017.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen